Setiausaha Agong Persatuan Silat Negeri Pahang (PESAKA Pahang) Datuk Osman Nok. FOTO Mohd Rafi Mamat.
Setiausaha Agong Persatuan Silat Negeri Pahang (PESAKA Pahang) Datuk Osman Nok. FOTO Mohd Rafi Mamat.
Mohd Rafi Mamat 


LIPIS: Seramai 700 pesilat mewakili 22 pasukan mengesahkan penyertaan pada Kejohanan Silat Kebangsaan Ke-19 di Dewan Baharu Kompleks Ibu Pejabat Majlis Perbandaran Kuantan pada 26-29 Mac ini.

Sejumlah 16 pasukan negeri, empat persatuan silat termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan bersaing merebut kejuaraan.

Setiausaha Agong Persatuan Silat Negeri Pahang (PESAKA Pahang) Datuk Osman Nok berkata, kejohanan selama lima hari itu bertujuan memilih barisan pesilat yang akan mewakili negara ke Sukan Sea 2019 di Filipina, November ini.

Katanya, jawatankuasa kejohanan menetapkan syarat pesilat negara tidak dibenarkan beraksi bagi memberi peluang kepada atlet muda mempamerkan kemampuan masing-masing seterusnya berpeluang mewakili negara di pentas antarabangsa.

Beliau berkata , pesilat yang berjaya meraih pingat emas, perak dan gangsa di kejohanan peringkat antarabangsa seperti Sukan Sea, Sukan Asia dan Kejohanan Silat Dunia tidak dibenarkan beraksi pada Kejohanan Silat Kebangsaan kali ini.

 "Kejohanan Silat Kebangsaan di Kuantan kali ini adalah gelanggang terbaik PESAKA Malaysia memilih pesilat muda yang berbakat tersenarai untuk mewakili negara di pentas antarabangsa bersama atlet senior.

 "PESAKA Pahang meletakkan harapan kepada 32 pesilat lelaki dan perempuan pada kejohanan terbesar peringkat itu dan kelebihan di gelanggang sendiri diharap dapat digunakan sepenuhnya," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima bantuan Program Sambutan Jubli Perak 37 tahun Pertubuhan Silat Cekak Harimau Malaysia yang disampaikan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail di Pejabat Daerah Dan Tanah Lipis, kelmarin.

Osman berkata, PESAKA Pahang menyasarkan tujuh pingat dapat diraih pada kejohanan berkenaan yang menampilkan gandingan pesilat muda dan senior. Semua pesilat kini mengikuti latihan pusat di Temerloh.

Katanya, tanpa kelibat beberapa pesilat senior seperti Mohd Al Jufferi Jamari, kejayaan tetap masih boleh berpihak kepada kontinjen Pahang yang mendapat kelebihan beraksi di gelanggang sendiri.

"Saya yakin kita mampu menyerlah pada kejohanan silat kebangsaan kali ini, semangat dan kesungguhan yang ditunjukkan pesilat menguatkan lagi peluang kita melakar kejayaan di tempat sendiri.

"Pesilat muda yang menyerlah pada kejohanan kali ini turut berpeluang tersenarai mewakili Pahang pada kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) Johor 2020," katanya yang berharap peminat sukan silat di Pahang tidak melepaskan menyaksikan kejohanan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 January 2019 @ 3:44 PM