MI rebus ribs.
MI rebus ribs.
MI rebus seafood.
MI rebus seafood.
MI rebus ketam membuka selera.
MI rebus ketam membuka selera.
AMY mesra melayan pelanggan yang menikmati mi rebus di Ngences Cafe.
AMY mesra melayan pelanggan yang menikmati mi rebus di Ngences Cafe.
Oleh Rodly Fadly


Ngences, kalau menurut ‘kamus’ orang Jawa bermakna meleleh air liur atau terliur yang berkait rapat dengan makanan. Situasi itu begitu sinonim dengan Ngences Noodles Cafe di Klang, Selangor yang memberikan pengalaman menjamu selera luar biasa buat penulis.

Penulis begitu teruja dan rambang mata ketika pemilik cafe berkenaan, Fazil Mohd Isa dan isterinya, Amy Normala menghidangkan mi rebus tulang, mi rebus ketam, mi rebus seafood dan mi rebus ribs.

Selepas mencuba mi rebus tulang, nyata ia sangat berbaloi dan harganya berpatutan. Tidak keterlaluan jika dikatakan hidangan di Ngences Noodle Cafe ini menepati cita rasa penggemar mi rebus.

Kuahnya sederhana pekat, dengan rasa masam-masam manis ditambah dengan cili hijau potong, ia melengkapi sebuah resipi mi rebus tradisi yang semakin sukar dicari sekarang.

Bagi yang meminati mi rebus tulang, anda bukan sahaja dapat menikmati keenakan rasa tulang semata-mata, tapi juga daging.

Bagi penggemar ketam pula, anda pasti dihidangkan mi rebus dengan seekor ketam bersaiz besar penuh satu pinggan.

Lebih menambah selera kerana ketam yang dipilih segar, baru dan penuh isi.

Memang sukar dibayangkan dengan kata-kata betapa enaknya menikmati mi rebus sambil meratah ketam. Kombinasi isi ketam dengan kuah benar-benar secocok dan ‘masuk.’

Walaupun ada menganggap makan ketam sebagai leceh kerana perlu mengopek kulitnya tapi ‘seni makan ketam’ itulah yang menambah kenikmatannya.

Anda yang menggemari makanan laut pula boleh mencuba hidangan mi rebus ‘seafood’ yang menggabungkan beberapa makanan laut seperti siput lala, udang dan pahat. Di samping itu mi rebus ribs juga tidak kurang enaknya.

Menurut Fazil, mi rebus yang dihidangkan adalah resipi asal orang Johor yang sudah ditambah baik tanpa menghilangkan keasliannya.

Resipi ini diperoleh ibunya, Siti Hawa Abdul Rahman, daripada seorang kenalan ketika mereka sama-sama berniaga makanan di Johor Bahru pada sekitar tahun 70-an.

“Pemilik asal resipi ini dikenali Haji Zainal, asalnya dia berniaga di sebuah gerai berdekatan dengan gerai nasi lemak emak saya.

“Mi rebusnya memang menjadi buah mulut orang sejak dulu. Sekarang dia masih berniaga di Johor Bahru dan memang terkenal dengan mi rebus tulangnya. Bagi penggemar mi yang pernah ke sana, pasti pernah singgah di restoran Haji Zainal itu.

“Malah, pelanggan kami yang makan mi rebus di cafe ini secara spontan berkata rasa mi rebus yang kami hidangkan sama seperti yang pernah dinikmatinya di Johor Bahru. Memang saya tidak nafikan persamaan itu kerana pemilik asal resipinya adalah orang yang sama.

“Resipi ini ‘dihadiahkan’ Haji Zainal kepada emak saya apabila kami mahu berpindah ke Klang, Selangor pada 1976. Ia sebagai meng­hargai persahabatan mereka yang sama-sama membuka gerai makan di satu lokasi di Johor Bahru ketika itu.

“Resipi itu kemudian diperturunkan kepada anak menantunya. Salah seorang yang mendapat resipi itu ialah isteri saya, Amy,” katanya.

Menurut Fazil, dari situlah tercetusnya idea untuk dia melahirkan Ngences Noodle Cafe yang menghidang­kan variasi mi rebus.

Biarpun turut menyediakan menu lain seperti mi bandung, mi Jawa, laksa Johor, laksa Pulau Pinang, roti Arab dan bubur nasi, namun mi rebus adalah menu istimewa di cafe itu.

Menawarkan harga berpatutan iaitu RM8 untuk mi rebus tulang, RM11 (seafood), RM15 (ribs) dan RM18 (ketam), ia sangat berbaloi untuk menghilangkan rasa ‘ngences’ anda kerana anda boleh makan sepuas-puasnya.

Kafe beralamat di No 43, Jalan Sri Sarawak 20A, Taman Sri Andalas, Klang ini beroperasi setiap hari, kecuali Isnin, mulai 10 pagi hingga 9 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Disember 2015 @ 12:09 PM