RAKAMAN CCTV menunjukkan dua suspek mencuri motosikal. FOTO tular
RAKAMAN CCTV menunjukkan dua suspek mencuri motosikal. FOTO tular
Nurul Hidayah Bahaudin


Gombak: Polis sedang mengesan dua lelaki yang mencuri sebuah motosikal di sebuah rumah di Taman Selasih Fasa 2, Batu Caves, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, pihaknya mengesan satu rakaman video berdurasi 23 saat memaparkan kejadian itu yang tular di media sosial, hari ini.

" Polis menerima laporan dibuat lelaki tempatan berusia 41 tahun memaklumkan motosikal miliknya Yamaha LC 135 dicuri, semalam.

"Siasatan awal dilakukan mendapati dua lelaki menaiki motosikal dipercayai Yamaha Y15 dan memakai baju hujan memasuki garaj rumah itu dengan membuka pintu pagar.

"Suspek dipercayai mematahkan kunci pemegang motosikal sebelum melarikan motosikal berkenaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, usaha mengesan kedua-dua suspek sedang giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat kes, Sarjan Muhammad Ekhmal Nasir Khan di talian 013–3020385.

"Orang ramai juga boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak di talian 03-61262222 bagi membantu siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Jun 2024 @ 8:43 PM