ANTARA menu  ditawarkan Pandan Cendol.
ANTARA menu ditawarkan Pandan Cendol.
ANTARA cawangan Pandan Cendol.
ANTARA cawangan Pandan Cendol.

BERMULA dengan hanya dua menu iaitu cendol dan rojak menggunakan motosikal beroda tiga, kini selepas lebih 30 tahun, Pandan Cendol semakin gah menerusi 11 cawangan dan enam rakan niaga yang menawarkan lima menu pilihan.

Pengurus Operasi Pandan Global Sdn Bhd, Muhammad Zulkifli Muhammad Nur berkata, dia memulakan operasinya sejak 1990 dan kini menawarkan lima menu iaitu cendol, rojak, mi goreng, mi rebus dan air batu campur.

"Pada asalnya ibu bapa saya menjual ikan di sebelah pagi dan cendol pada petangnya dengan menggunakan motosikal beroda tiga, namun kemudiannya memberi tumpuan kepada jualan cendol.

"Waktu saya darjah dua, ibu bapa sudah memiliki lori untuk berniaga, dari sebuah hinggalah ke enam lori dan kami adik-beradik turut membantu.

"Kini mereka sudah melepaskan perniagaan itu untuk kami uruskan dan mereka hanya memantau perjalanan perniagaan ini," katanya.

Selepas lebih 30 tahun beroperasi, Pandan Cendol kini boleh didapati di Selayang, Batu Caves, Sungai Buloh, Sungai Tua, Taman Samudra, Cyberjaya, Ampang dan Kepong.

"Semuanya masih tertumpu di Lembah Klang. Syukur perniagaan ini semakin berkembang tetapi buat masa ini tidak terlalu jauh supaya senang diuruskan berikutan faktor logistik," katanya.

Mengenai kerjasama dengan Perbadanan Nasional Berhad (Pernas), Zulkifli berkata dia meneruskan inisiatif dua kakaknya pada 2012 dan 2016 dan mengakui banyak ilmu perniagaan yang diterima, seterusnya memperbaiki kekurangan dalam operasi dan penyediaan makanan.

Kini Pandan Cendol berpeluang menyertai banyak acara dan mengembangkan bisnes mereka menerusi trak makanan dan katering, malah jika tidak dapat memenuhinya, mereka turut membuka peluang kepada rakan niaga sebagai sumber pendapatan tambahan.

Katanya, semua bahan disediakan sendiri syarikatnya menggunakan resipi tersendiri termasuk pes untuk membuat rojak, mi goreng dan mi rebus.

"Bagi yang ingin menjadi rakan niaga, ia mengikut menu yang diambil. Pakej paling murah adalah RM5,000 untuk cendol dan RM10,000 untuk semua menu," katanya.

"Untuk pakej itu, kami sediakan semua peralatan dan susun atur kecuali pengangkutan yang perlu disediakan sendiri oleh rakan niaga. Dalam tempoh dua hari, keuntungan sudah boleh diperolehi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Disember 2022 @ 7:10 AM