BAS yang terbabit dalam kemalangan di Genting Highlands, hari ini. FOTO Ihsan Pembaca
BAS yang terbabit dalam kemalangan di Genting Highlands, hari ini. FOTO Ihsan Pembaca
Safeek Affendy Razali


Kuala Lumpur: Polis mengesahkan pemandu bas persiaran yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer (km) 16.5, Jalan Genting Highlands, Bentong, pagi tadi tidak memiliki lesen memandu.

Malah pemandu berusia 32 tahun itu juga memiliki 27 rekod saman lampau atas pelbagai kesalahan.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, kesalahan itu dikesan selepas polis melakukan semakan terhadapnya.

"Kita akan menjalankan siasatan serta mengambil tindakan susulan selepas pemandu bas selesai mendapatkan rawatan.

"Pada masa ini, pemandu terbabit mengalami kecederaan akibat kemalangan," katanya kepada media hari ini.

Dalam kejadian sekitar 10.35 pagi itu bas persiaran yang membawa 18 penumpang warga asing dan tiga warga tempatan terdiri daripada pemandu bas, pembantunya dan pemandu pelancong, terbabas sebelum melanggar tembok tengah pembahagi jalan di KM 16.5, jalan turun Genting Highlands, Bentong menuju ke ibu negara.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Jun 2024 @ 7:35 PM