LOUISIANA Cajun, sos terbaik Just Seafood dihasilkan dengan enam herba istimewa.
LOUISIANA Cajun, sos terbaik Just Seafood dihasilkan dengan enam herba istimewa.
HIDANGAN dengan sos mentega susu memberikan rasa krim lembut dan sedap.
HIDANGAN dengan sos mentega susu memberikan rasa krim lembut dan sedap.
TIGA jenis sos istimewa Just Seafood menyebabkan makanan laut dinikmati dengan lazat.
TIGA jenis sos istimewa Just Seafood menyebabkan makanan laut dinikmati dengan lazat.
HAM melonggokkan hidangan makanan laut dengan sos Louisiana Cajun.
HAM melonggokkan hidangan makanan laut dengan sos Louisiana Cajun.
Suliati Asri


Keenakan dan kemanisan isi ketam, udang dan kepah segar sukar digambarkan dengan kata-kata.

Dilonggokkan pula di atas meja beralas kertas dan menikmatinya menggunakan tangan persis berada di rumah sendiri, sekali gus memberi kepuasan tersendiri.

Itu yang pasti dirasai saat menikmati keenakan hidangan makanan laut segar di Restoran Just Seafood di Sunway Giza, Kota Damansara.

Dibuka sejak Februari tahun lalu, restoran ini menawarkan hanya hidangan makanan laut segar sebagaimana namanya ‘Just Seafood’ dan pasti membuatkan peminat makanan laut pulang dengan kepuasan.

Pemilik yang juga pengurus Restoran Just Seafood, Terence Ham berkata, kebanyakan rakyat Malaysia dari semua kaum gemar makan makanan laut.

“Dengan hanya menghidangkan makanan laut, pelanggan tidak perlu risau untuk menjamu selera di sini,” katanya.

Mengetengahkan konsep asal ‘New Orleans Louisiana Style America’ iaitu makanan dihidang di atas meja beralaskan kertas, pengunjung selesa menikmati juadah disajikan tanpa perlu memikirkan pinggan, sudu, garpu dan sebagainya.

“Walaupun konsep ini berasal dari Amerika, idea membuka restoran dan mengetengahkan konsep ini tercetus ketika saya pulang dari Australia.

“Di Australia banyak makanan laut. Penduduknya suka makan makanan laut segar dan cara memasak mereka sangat ringkas. Hanya rebus dan makan di atas meja tanpa pinggan.

“Orang Malaysia juga suka makan dengan tangan. Dengan konsep ini, ia memberi kepuasan kepada pengunjung saat menjamu selera di sini,” katanya.

Just Seafood memperkenalkan tiga pilihan sos iaitu Louisiana Cajun, Butter Milk dan Creamy Peanut.

Ham berkata, sos istimewa Just Seafood diilhamkan daripada rasa sebenar Amerika Syarikat, Vietnam dan Malaysia.

“Sos atau gaya masakan Louisiana Cajun tidak diketahui ramai di Malaysia dan ia dipopularkan orang Vietnam di Louisiana.

“Oleh itu, saya dan tukang masak yang diimport dari Vietnam menghasilkan sos Louisiana Cajun versi sendiri selepas hampir dua bulan mencari rasa istimewa, sekali gus menjadikan ia sos popular dan terbaik di restoran ini,” katanya.

Sos Mentega Susu (Butter Milk) pula, kata Ham, antara yang mendapat sambutan. Dengan menggunakan mentega dan dua liter susu serta daun kari yang direbus dan digaul bersama makanan laut segar menjadikannya hidangan cukup membangkitkan selera.

“Sos Kacang Berkrim (Creamy Peanut) pula diilhamkan daripada hidangan kegemaran rakyat Malaysia, sate yang dihidangkan dengan kuah kacang pedas.

“Bagaimanapun, kuah kacang Just Seafood ini dicipta khusus untuk kesesuaiannya dicampurkan dengan makanan laut, sekali gus memberikan rasa pedas dan berkrim cukup menyelerakan,” katanya.

Katanya, udang galah, udang besar dan ketam dibawa khas dalam keadaan masih hidup dari Sabah.

Kupang pula dari Chile dan tiram dari Amerika Syarikat juga dimport hidup-hidup. Kepah hidup pula dibeli daripada nelayan tempatan.

Just Seafood menawarkan tiga set hidangan kepada pelanggan iaitu satu hingga dua orang, tiga hingga empat orang dan lima hingga tujuh orang. Setiap set biasanya dihidangkan dengan ketam, udang galah, udang besar, kerang besar, kupang Chile, sotong, kentang, lobak merah, jagung, nasi atau roti bakar.

Menambahkan lagi keterujaan menikmati hidangan makanan laut segar, tiram hidup yang diimport dari Amerika Syarikat antara menu yang perlu dinikmati saat menjamu selera di sini.

Restoran ini beroperasi setiap hari bermula 12 tengah hari hingga 10 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Oktober 2016 @ 12:19 PM