PRESIDEN MKE Ankaragucu, Faruk Koca dilihat memukul Halil Umut Meler sehingga terbaring ketika insiden enam bulan lalu. FOTO REUTERS
PRESIDEN MKE Ankaragucu, Faruk Koca dilihat memukul Halil Umut Meler sehingga terbaring ketika insiden enam bulan lalu. FOTO REUTERS
Agensi

London: Pengadil yang akan mengendalikan pertembungan pusingan 16 terakhir membabitkan England dengan Slovakia pada Euro 2024, sebelum ini terlibat dalam insiden yang menyebabkannya terlantar di hospital.

England akan menentang Slovakia di Gelsenkirchen, tengah malam esok selepas menduduki tempat teratas Kumpulan C, manakala lawan mereka menamatkan saingan peringkat Kumpulan E di kedudukan ketiga.

The Three Lions berharap dapat menepis tanggapan ramai yang mempersoalkan kemampuan mereka apabila berdepan lawan yang menduduki ranking ke-45 dunia.

Ia selepas prestasi mengecewakan di peringkat kumpulan apabila England hanya mampu seri dengan Denmark serta Slovakia selepas menewaskan Serbia pada aksi pertama.

Pengadil dari Turki, Halil Umut Meler akan mengendalikan perlawanan di Arena AufSchalke Schalke.

Ia berlaku hanya enam bulan selepas dia diserang semasa perlawanan domestik di Turki, yang kemudiannya dikenali sebagai 'malam memalukan'.

Meler dimasukkan ke hospital selepas Presiden MKE Ankaragucu, Faruk Koca menumbuk dan menendang pegadil itu ketika pasukannya seri 1-1 dengan Caykur Rizespor di saingan Super Lig Turki.

Rizespor menjaringkan gol penyamaan pada detik-detik terakhir dalam perlawanan agak tegang itu yang menyaksikan dua kad merah dilayangkan.

Koca menyerbu masuk ke padang menuju ke Meler selepas tamat perlawanan sebelum menumbuknya sehingga jatuh dan menendangnya beberapa kali di atas padang.

Meler akhirnya dikawal oleh polis, sebelum Persekutuan Bola Sepak negara itu menghentikan keseluruhan aksi liga.

Meler kemudiannya dilaporkan ditahan hospital dan memakai pendakap leher, tetapi kemudiannya dibenarkan keluar pada hari berikutnya.

Insiden ganas itu mencetuskan kemarahan di Turki, dengan lembaga disiplin persekutuan bola sepak negara itu mengarahkan Ankaragucu bermain lima perlawanan di tempat sendiri secara tertutup selain turut didenda 60,000 euro (RM303,000).

Presiden FIFA, Gianni Infantino menyelar insiden itu dengan mendakwa ia 'tidak boleh diterima sama sekali', manakala Presiden Turki, Recep Erdogan turut mengecam serangan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Jun 2024 @ 9:31 PM