AHMAD Zahid (tengah) bergambar bersama perwakilan ketika hadir merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Kuala Pilah. FOTO Bernama
AHMAD Zahid (tengah) bergambar bersama perwakilan ketika hadir merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Kuala Pilah. FOTO Bernama
Mohd Amin Jalil


Kuala Pilah: Pilihan Raya Kecil (PRK) yang diadakan di beberapa negeri setakat ini menjadi latihan dalam menilai keserasian dan kerjasama pelbagai parti dalam Kerajaan Perpaduan, kata Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, keserasian itu jelas terserlah apabila semua kepemimpinan parti dalam Kerajaan Perpaduan memberikan kerjasama dan sokongan padu terhadap calon yang bertanding walaupun daripada parti berbeza.

"Sebagai contoh, PRK Sungai Bakap, ia membabitkan calon daripada PKR, tetapi kaedah kita membantu calon, seolah-olah kita yang bertanding, jentera Umno dari Perlis, Kedah dan utara Perak tampil membantu.

"Sebelum ini PRK Pelangai (di Pahang) yang ditandingi Umno, semua parti dalam Kerajaan Perpaduan dari Amanah, PKR dan DAP memberikan sokongan membantu calon kita.

"Situasi serupa juga berlaku pada PRK Simpang Jeram (Johor) dan PRK Kuala Kubu Bharu (Selangor). calon DAP, jentera akar umbi kita bekerja keras membantu mereka. Inilah semangat setia kawan yang ada antara kita (Kerajaan Perpaduan)," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Kuala Pilah di sini, hari ini.

Ahmad Zahid turut meminta kerjasama semula ahli Umno untuk memastikan parti itu kembali dominan dalam arena politik negara.

"Justeru, Umno memerlukan sokongan daripada bukan ahli dan ahli parti lain untuk menyokong parti kita semasa pilihanraya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Jun 2024 @ 9:06 PM