SHAHIR menunjukkan hidangan istimewa di 200 Seeds Cafè.
SHAHIR menunjukkan hidangan istimewa di 200 Seeds Cafè.
Rodly Fadly


Menikmati sarapan dalam kedinginan udara Cameron Highlands ditambah dengan keenakan nasi lemak sambal strawberi, benar-benar membuka selera.

Sudah lama penulis memendam hasrat mencuba keenakan nasi lemak bersambalkan strawberi yang diuar-uarkan rakan yang sudah mencubanya. Ia sesuatu yang baru dan unik kerana selama ini kita hanya dihidangkan nasi lemak bersambal ikan bilis.

Ternyata, kelainan ditonjolkan 200 Seeds Cafè di Tanah Rata memang memberi cita rasa berlainan dan sangat sedap.

Walaupun asas nasi lemaknya sama, sambal strawberi menjadi nilai tambah yang membezakan ia dengan nasi lemak biasa.

Gabungan bahan asas sambal seperti cili, belacan, bawang, halia yang diadun dengan strawberi dan ikan masin melahirkan kombinasi rasa pedas serta masam-masam manis. Dan, ia memang enak apabila dimakan bersama nasi lemak berlaukkan ayam goreng serta telur rebus.

Jika mahu menikmati minuman berbeza daripada rutin, anda boleh mencuba dua minuman istimewa iaitu strawberi lassi dan Virgin Nojito iaitu air yang menggabungkan cita rasa daun pandan dan laici.

Selain nasi lemak, sambal strawberi sangat secocok dimakan dengan nasi goreng ayam, juga enak dinikmati dengan roti biasa. Pendek kata sambal strawberi berjenama Abang Strawberry keluaran YBS Agro Premiere Sdn Bhd (YBS) ini boleh disesuaikan dengan apa saja makanan mengikut cita rasa anda.

Jika tidak puas menikmati keenakan sambal strawberi di 200 Seeds Cafè, anda boleh membawa pulang kerana ia turut dibotolkan.

Menurut Eksekutif Pembangunan Perniagaan YBS Syahir Mohd Sarif, resipi sambal strawberi dicipta Jamaliah Yahya, ibu kepada Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu, Amnan Fakhri Othman pada 2014 sebagai hidangan keluarga.

“Ia kemudian dikembangkan sebagai hidangan di gerai makan milik Jamaliah. Berikutan sambutan luar biasa, Amnan meluaskan perniagaan nasi lemak strawberi dengan membuka kafe.

“Melihat kepada potensi produk ini, Amnan serta beberapa rakannya bergabung di bawah YBS untuk meluaskan pemasaran sambal strawberi atas jenama Abang Strawberry. Selain sambal, syarikat ini juga mengeluarkan jem dan minuman kordial atas jenama yang sama,” kata Shahir.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Jun 2016 @ 11:27 AM