PCR acara tahun keenam diadakan. Foto FB PCR
PCR acara tahun keenam diadakan. Foto FB PCR

Ipoh: Seramai lebih 1,500 peserta bakal menyertai perlumbaan basikal berstatus century ride paling berprestij, Perak Century Ride (PCR) 2024 esok.

Acara sempena Tahun Melawat Perak 2024 menyaksikan pelepasan berlangsung di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Perak dekat Gopeng, di sini.

Pengerusi Program PCR 2024 merangkap Presiden Kelab Berbasikal Le Velo, Sharudin Not berkata selain acara PCR yang membabitkan jarak 160 kilometer (km) pihaknya turut menganjurkan acara Fun Ride sejauh 35 km sekitar Gopeng.

Katanya, pihaknya mendapat maklum balas yang baik dari segi penyertaan peserta pada edisi kali ini.

"Untuk acara tahun ini beberapa peserta dari luar negara antaranya Ireland, Australia, Singapura dan India turut mengambil bahagian. Tidak terkecuali penyertaan dari luar negeri Perak seperti peserta dari Lembah Klang serta Sabah dan Sarawak.

"Ini adalah tahun keenam penganjuran PCR dan kami berharap acara ini dapat berjalan lancar," katanya.

Beliau turut menasihatkan peserta mematuhi peraturan dan mengutamakan keselamatan ketika berkayuh.

Begitu juga masyarakat sekitar Gopeng dan Ipoh supaya mengambil perhatian mengenai aktiviti yang dilakukan pihaknya.

Acara pelepasan akan disempurnakan oleh Pengarah FAMA Perak, Noorsham Ramli; Poon Sook Yee iaitu Pegawai Khas kepada Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Negeri Perak; wakil Jabatan Belia dan Sukan Perak serta wakil Tourism Perak.

Pelbagai program menarik turut diadakan sempena PCR, peserta juga berpeluang membawa pulang sebuah motosikal dan pelbagai barangan elektrik menarik untuk cabutan bertuah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Jun 2024 @ 8:32 PM