ANWAR berucap pada Karnival Tekun Madani Pulau Pinang di Dewan SP Arena Seberang Jaya hari ini. FOTO Bernama
ANWAR berucap pada Karnival Tekun Madani Pulau Pinang di Dewan SP Arena Seberang Jaya hari ini. FOTO Bernama
BERNAMA

Butterworth: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menjelaskan bahawa beliau tidak turun berkempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Sungai Bakap yang sedang berlangsung, kerana memfokuskan untuk menyelesaikan masalah ekonomi selain bekerja membangunkan taraf hidup rakyat.

Sehubungan itu, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, beliau telah menyerahkan kepada rakan-rakan lain dalam gabungan parti bawah Kerajaan Perpaduan, termasuk Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Pulau Pinang Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid, untuk membuat kerja di kawasan tersebut.

"Saya tak bertanding di Sungai Bakap, saya tak pergi pun Sungai Bakap. Saya tumpu masalah ekonomi, bangunkan rakyat, tak ambil gaji. Saya tidak pergi Sungai Bakap sebab saya fikir saya kena terus bekerja.

"Petang ini kita jumpa Jawatankuasa Pemandu Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM), pegawai-pegawai daerah dan lain-lain untuk bincang pembangunan projek-projek Bumiputera Pulau Pinang," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Karnival Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) Madani Pulau Pinang, di Dewan Konvensyen Seberang Perai (SP) Arena, Seberang Jaya dekat sini hari ini.

Justeru, Presiden PKR itu meminta rakan-rakan dalam parti dan semua pihak, memahami keadaan beliau yang tidak turun berkempen membantu calon PH Dr Joohari Ariffin pada PRK Dun Sungai Bakap, yang memasuki hari kelapan.

Anwar berkata beliau juga telah berpesan kepada semua pihak di bawah Kerajaan Perpaduan, agar tidak berlawan dengan 'makian' yang dilemparkan pihak pembangkang, sebaliknya menjelaskan apa yang dilakukan oleh kerajaan bagi kebaikan rakyat dan negara, dalam kempen PRK Sungai Bakap.

PRK Dun Sungai Bakap pada 6 Julai, menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Joohari daripada PKR dan calon Perikatan Nasional (PN) Abidin Ismail, yang diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei, akibat keradangan dalam perut.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon bertanding pada 22 Jun hingga 11.59 malam, 5 Julai.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Jun 2024 @ 9:28 PM