RASAI pelbagai jenis burger resipi sendiri dan ‘air hutan’ di Fruit King Cafe.
RASAI pelbagai jenis burger resipi sendiri dan ‘air hutan’ di Fruit King Cafe.
Oleh Suliati Asri


LIMPAHAN sos lada hitam yang dicurah di atas hidangan cukup menyelerakan dan keju yang meleleh membuatkan perut yang tadi berkeroncong tidak sabar untuk minta diisi.

Kelembutan daging lembu yang dibakar membuatkan setiap kunyahan suatu kenikmatan.

Ini yang penulis rasakan ketika menjamu selera di Fruit King Cafe, Parit Buntar, Perak.

Kafe yang dibuka setiap hari bermula jam 5.30 petang hingga 12.30 malam itu menyediakan pelbagai jenis burger bakar yang cukup istimewa.

Memesan set Single Beef dan Paloma Burger yang menggabungkan daging burger bakar bersama ayam ditambah kentang lenyek dan goreng membuatkan perut menari riang.

Minuman ‘air hutan’ yang dipesan dengan gabungan soda, laici, daun pudina dan serai melengkapkan hidangan makan malam di Parit Buntar.

Pemilik, Khairil Anwar Abu Bakar, 28, berkata kafe yang dibuka sejak empat tahun lalu itu menyediakan pelbagai hidangan, tetapi yang menarik ialah burger bakar, dari saiz kecil hingga besar.

“Di sini, kami menyediakan burger biasa dan paling besar ialah 25 inci.

“Saiz burger mengikut permintaan pelanggan, antaranya burger pe­ngantin.

“Namun, jika mahu burger bersaiz besar, pelanggan perlu membuat tempahan awal,” katanya.

Katanya, burger bakar yang disediakan di kafe itu menggunakan resipi sendiri seperti daging burger, roti dan sos.

“Resipi yang kami hasilkan lebih kepada cita rasa Melayu manakala roti burger mempunyai empat perasa iaitu asli, pandan, coklat dan strawberi.

“Burger yang dihidangkan di atas hot plate mendapat sambutan menggalakkan,” katanya.

Terbaru, bermula 1 Mac lalu, Kafe Fruit King memperkenalkan menu terbaru, Satay Burger dalam tiga pilihan iaitu burger ayam, daging lembu dan kambing.

Minuman yang disediakan berasaskan buah-buahan segar bersesuaian dengan nama kafe itu ‘Fruit King’.

Antara minuman yang menjadi pilihan pengunjung ialah FK iaitu gabungan oren, mangga dan pear, nanas dan lobak merah atau Minty Lemongrass atau lebih popular dikenali dengan panggilan ‘air hutan’.

Layari facebook dengan mencari nama Fruit King atau hubungi 013­6312627 untuk maklumat lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mac 2015 @ 12:13 PM