BERIADAH di hutan.
BERIADAH di hutan.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin

Mungkin ada segelintir individu melalui perjalanan kehidupan yang kurang menyeronokkan tahun lalu.

Ini mungkin kerana perkara buruk lebih banyak terjadi berbanding perkara baik.

Meskipun ujian adalah warna warni kehidupan tetapi ada kalanya seseorang itu mengambil masa untuk menerimanya.

Namun begitu jangan mengalah dengan ujian dan meneruskan kehidupan secara positif.

Enam cara boleh dilakukan untuk permulaan kehidupan lebih baik, gembira, ceria dan proaktif tahun ini:

1. Sarapan pagi berkhasiat

Jika tahun sebelum ini tidak mengambil sarapan, eloklah ubah tabiat ini dengan mengambil sarapan pagi berkhasiat sebelum memulakan rutin harian.

Sarapan pagi berkhasiat ini besar impaknya yang mana boleh mempengaruhi diri anda menjadi lebih produktif sepanjang hari.

Pilihan menu sarapan pagi yang ringkas dan penyediaan mudah seperti telur rebus, roti bakar, jus buah-buahan dan keledek rebus.

2. Berjalan kaki

Mulai sekarang rajin-rajinlah berjalan kaki kerana ia memberikan banyak manfaat terhadap kesihatan.

Ini kerana ia adalah senaman paling mudah, selamat dan sesuai untuk semua peringkat usia.

Sebaiknya berjalan 10,000 langkah tetapi jika tidak berkemampuan, memadai 5,000 langkah atau 15 minit setiap sesi.

Manfaat berjalan kaki sangat banyak antaranya menyembuhkan pelbagai jenis penyakit seperti serangan jantung dan angin ahmar, membakar lemak, melangsingkan badan, mencegah kemurungan serta barah.

3. Buang orang toksik daripada hidup anda

Kita selalu membuang barangan yang sudah rosak dan tidak mahu digunakan lagi.

Oleh itu, konsep yang sama juga boleh diaplikasikan dalam perhubungan dengan rakan.

Kita berhak memilih dan menentukan rakan patut kekal bersama serta meninggalkan rakan toksik.

Ini kerana orang toksik boleh merosakkan kegembiraan dan memberi kesengsaraan kepada orang lain.

4. Terima diri

Sekiranya mempunyai keberanian, boleh mencuba mengembara solo di dalam atau luar negara.

Pengembaraan ini memberi ruang untuk meluangkan masa dengan diri sendiri, menerima diri dan berbangga terhadap diri sendiri.

5. Berhenti melangkau waktu makan

Kesibukan kerja ada kalanya membuatkan kita terpaksa melangkau waktu makan.

Namun tanpa disedari tindakan ini akan meningkatkan kecenderungan untuk makan berlebihan pada waktu makan seterusnya dan berpotensi meningkatkan berat badan.

Anda perlu mengamalkan jadual makan yang teratur supaya berat badan kekal.

6. Tidak mementingkan diri sendiri

Sememangnya sesuatu yang baik apabila meluangkan masa untuk diri sendiri.

Tetapi anda perlu juga memberi sedikit ruang untuk meluangkan masa dengan orang lain sama ada keluarga dan jiran.

Cara ini membuatkan kehidupan kita lebih bermakna kerana dapat mengembirakan orang lain.

Secara tidak langsung dapat mengeratkan silaturahim antara satu sama lain.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Februari 2024 @ 6:30 AM