HIDANGAN menyengat Restoran ALV De’Light Indera Mahkota, mi bandung udang galah (kiri) dan nasi goreng lamb
HIDANGAN menyengat Restoran ALV De’Light Indera Mahkota, mi bandung udang galah (kiri) dan nasi goreng lamb
RASA Mi bandung udang galah cukup menyelerakan
RASA Mi bandung udang galah cukup menyelerakan
MENU nasi goreng lamb, mi bandung udang galah, nasi khao mok dan tomyam udang galah disukai pelanggan.
MENU nasi goreng lamb, mi bandung udang galah, nasi khao mok dan tomyam udang galah disukai pelanggan.
Oleh Ainal Marhaton Abd Ghani

Berkonsepkan masakan Johor, tiga menu utama dari negeri di selatan tanah air itu menjadi tumpuan ramai di Restoran ALV De'Light (ALV De'light) sejak dibuka setahun lalu.

Hidangan mi bandung Muar, mi rebus Johor dan laksa Johor yang diperkenalkan Muhammad Ashraf Zulkifili, menjadikan restoran itu sentiasa dipenuhi pengunjung.

"Resipi dan ramuan yang digunakan 'memang kena' dengan selera pelanggan dan ia berbeza dengan menu yang disediakan kebanyakan restoran di Kuantan.

"Saya sendiri menyediakan perencah mi bandung Muar, seterusnya belajar menyediakan hidangan ini daripada tukang masak berpengalaman di Johor," katanya ketika ditemui di restorannya di Indera Mahkota 5, Kuantan, Pahang, baru-baru ini.

Bagi memikat selera pelanggan, Muhammad Ashraf memperkenalkan mi bandung udang galah yang dijual pada harga RM15 sepinggan.

"Pada awalnya saya bimbang menu ini 'kurang menyengat' kerana harganya agak tinggi berbanding menu lain, tetapi pelanggan boleh terima kerana kami sertakan tiga udang galah bersaiz besar.

"Ternyata harga bukan ukuran kerana pelanggan mahukan kepuasan," katanya yang mendapat bekalan udang galah segar daripada pemancing tempatan.

Katanya, kuah mi bandung menggunakan bahan masakan biasa seperti lada kering, bawang kecil dan besar, udang geragau dan kacang tanah yang dikisar sekali gus sebelum mencampurkannya dengan perencah.

"Saya mengambil masa seminggu belajar cara membuat kuah mi bandung," katanya.

ALV De'light turut menyediakan hidangan mi rebus tulang, sup tulang 'gear-box' kambing, soto bihun, hidangan Barat seperti lamb chop, chicken chop dan fish 'n' chip.

"Kami juga menyediakan masakan Thai seperti nasi khao mok dan tomyam udang galah," katanya.

Mengingati saat memulakan perniagaannya, Muhammad Ashraf tidak dapat melupakan peristiwa banjir yang melanda pantai timur apabila dia membuka restorannya pada 6 Disember 2013.

"Semua persiapan sudah dibuat sebelum tarikh untuk memulakan perniagaan, tetapi banjir yang melanda Kuantan 'merencatkan' operasi kami.

"Namun, kami mengambil iktibar dari musibah dengan mengadakan solat hajat sempena majlis pembukaan dan mengagihkan bantuan makanan kepada mangsa banjir di beberapa kawasan," katanya yang memulakan perniagaan gerai makan roti John pada 2002 di Johor Bahru.

Bersama rakan kongsi, Nasaruddin Abdullah, dia mendapat kepercayaan masyarakat apabila restorannya sentiasa dipenuhi pelanggan sehingga lewat malam.

"Biasanya jika ada perlawanan bolasepak membabitkan pasukan Johor, restoran ini menjadi tumpuan peminat bola sepak," katanya yang dilahirkan di Johor.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Oktober 2014 @ 5:03 AM