GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


Kajang: Seorang pelajar sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) di sini, yang dilaporkan parah selepas dipercayai jatuh dari tingkat lima bangunan, kelmarin, disahkan meninggal dunia, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pelajar lelaki berusia 13 tahun itu disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kajang, 2.30 pagi tadi.

"Siasatan lanjut menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang diperoleh mendapati mangsa dipercayai terjatuh dari tingkat lima bangunan sekolah terbabit.

"Pelajar itu dirawat di Hospital Kajang dan beberapa kesan kecederaan dialaminya pada bahagian kepala serta anggota badan. Punca kematian disebabkan jatuh dari tempat tinggi," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, satu pasukan siasatan khas juga ditubuhkan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang bagi menyiasat kes ini dengan lebih terperinci.

"Setakat ini, lapan saksi dipanggil untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan berkenaan yang diklasifikasikan mati mengejut (SDR).

"Kes itu juga disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001," katanya.

Katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta untuk menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Muhammad Faizal Azizi di talian 011-16120032 bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Jun 2024 @ 9:13 PM