TIGA maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di WCE berhampiran Changkat Jering. FOTO ihsan BOMBA
TIGA maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di WCE berhampiran Changkat Jering. FOTO ihsan BOMBA
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Taiping: Polis mengesahkan kemalangan yang mengorbankan tiga nyawa di Kilometer 262.5 Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) arah utara, semalam membabitkan tiga kenderaan termasuk sebuah lori.

Ketua Polis Daerah Taiping Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ismail berkata, siasatan mendapati kejadian berlaku sekitar 10.30 malam apabila Perodua Bezza melanggar belakang sebuah lori dipandu seorang lelaki di laluan kiri.

Menurutnya, kereta Honda Civic yang dipandu seorang wanita kemudian tidak sempat mengelak lalu merempuh Perodua Bezza terbabit.

"Akibat rempuhan itu, suami isteri yang menaiki Perodua Bezza dan ibu kepada pemandu Honda Civic berusia 36 hingga 73 tahun meninggal dunia di lokasi.

"Tiga anak kepada pasangan terbabit mengalami kecederaan termasuk dua parah, manakala pemandu Honda Civic patah kaki kiri dan tangan kanan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan tiga maut manakala enam lagi cedera dalam nahas membabitkan dua kenderaan di lebuh raya berkenaan, malam tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2024 @ 4:17 PM