ORANG ramai hadir ke Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk mendaftar BUDI MADANI. FOTO BERNAMA
ORANG ramai hadir ke Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk mendaftar BUDI MADANI. FOTO BERNAMA
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

Kuala Lumpur: Penerima Program Bantuan Subsidi Madani (BUDI MADANI) melahirkan rasa syukur dengan pemberian bantuan subsidi tunai berjumlah RM200 sebulan kepada mereka.

Salah seorang penerima bantuan BUDI Individu, Mohd Rodzi Rosly, 35, berkata, pemberian bantuan subsidi tunai oleh kerajaan itu sedikit sebanyak membantunya dalam menangani peningkatan kos harga diesel.

"Di peringkat awal sekarang, kerajaan memberikan RM200.

"Mungkin boleh buat penambahan secara berperingkat," katanya.

BUDI MADANI ialah usaha kerajaan untuk memastikan peruntukan subsidi disasarkan kepada golongan yang layak iaitu terbahagi kepada bantuan individu (BUDI Individu), petani serta pekebun kecil komoditi (BUDI Agri-Komoditi) dan kenderaan awam dan pengangkutan barangan terpilih (BUDI MySubsidi Diesel).

Dianggarkan seramai 300,000 pemilik kenderaan diesel persendirian individu di Semenanjung layak untuk menerima BUDI Individu.

Manakala seramai 68,000 petani, 8,000 penternak dan 34,000 pengusaha akuakultur dengan skala kecil berkelayakan menerima manfaat daripada BUDI Agri-Komoditi.

Setakat 6 Jun lalu, lebih daripada 30,000 pemohon individu, petani dan pekebun kecil komoditi sudah diluluskan untuk menerima bantuan subsidi tunai di bawah inisiatif BUDI MADANI.

Penerima bantuan BUDI Individu, Muhammad Khawaridzmi Nawawi, 27, melahirkan rasa syukur kerana terpilih sebagai seorang daripada penerima bantuan.

Dia turut mencadangkan supaya bantuan BUDI MADANI ini ditambah kira-kira RM400 sehingga RM500.

"Ini disebabkan saya menggunakan kereta pacuan empat roda itu setiap hari dan itu kereta untuk bekerja," katanya.

Muhammad Khararidzmi yang berasal dari Jitra, Kedah juga berpandangan, pengisian permohonan BUDI MADANI disifatkannya sebagai mudah.

"Ia mudah. Saya isi lima minit sudah selesai. Bila kita isi dan hantar, terus dapat jawapan," katanya sambil menambah mengisi permohonan pada jam 6 pagi serta menggunakan komputer.

Seorang lagi penerima bantuan BUDI Individu, Baharudin Suarnur, 48, pula menyifatkan pemberian bantuan itu melegakan perasaannya.

Menurutnya, ini disebabkan ia sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban yang ditanggungnya.

Beliau juga mencadangkan supaya pemberian bantuan itu dinaikkan daripada RM200 kepada RM450 sebulan.

"Sekurang-kurangnya dalam RM350-RM450 sebulan. Sebab itu satu-satunya kereta untuk keluarga, pergi dan balik kerja serta sambilan penghantaran barangan separuh masa," katanya.

Untuk mengetahui lebih lanjut berhubung syarat-syarat kelayakan BUDI MADANI, sila layari https://budimadani.gov.my atau menghubungi talian bantuan BUDI MADANI di nombor 1-800-88-2747 /03-8882 4565 /03-8882 4566 atau secara e-mel di [email protected]

Pertanyaan dan maklumat lanjut juga boleh diperoleh di semua pejabat LHDNM seluruh Semenanjung Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Jun 2024 @ 7:01 AM