PENGENDALI England, Gareth Southgate memeluk Jude Bellingham selepas pemain itu meledak gol tunggal perlawanan di minit 13. FOTO Agensi
PENGENDALI England, Gareth Southgate memeluk Jude Bellingham selepas pemain itu meledak gol tunggal perlawanan di minit 13. FOTO Agensi
AFP

Gelsenkirchen, Jerman: Pengendali England, Gareth Southgate sifatkan kemenangan 1-0 ke atas Serbia dalam aksi sulung Kumpulan C itu dalam kempen Euro 2024 cukup bermakna biarpun hanya kemenangan tipis.

Katanya, barisan pemain menunjukkan permainan menarik khususnya babak pertama dengan dominasi menyeluruh.

Namun beliau akui, aksi di separuh masa kedua agak longlai di mana pemainnya lebih banyak bertahan di depan kotak penalti daripada melancarkan serangan.

Justeru, Southgate mahu kelemahan itu diperbaiki segera sebelum turun pada aksi kedua kumpulan menentang Denmark, Jumaat ini.

"Separuh masa kedua kami tidak mengekalkan permainan yang saya inginkan, tetapi untuk mendapatkan kemenangan adalah sangat penting," kata Southgate.

"Kami tertekan sepanjang 45 minit babak kedua. Begitupun saya fikir dengan cara kami bertahan, ia nampak baik dan saya mahu benteng pasukan kekal ampuh sepanjang saingan Euro ini," katanya.

Dalam aksi yang berlangsung di Arena AufSchalke itu, tandukan Jude Bellingham seawal minit ke-13 sudah cukup menghadiahkan tiga mata maksimum buat The Three Lions bagi membuka kempen kali ini dengan nota kemenangan.

Serbia yang kerap bertahan dan menamatkan separuh masa pertama tanpa percubaan tepat, tampil lebih baik pada babak kedua untuk memburu gol.

England hampir menambah gol kedua namun tandukan jarak dekat Harry Kane pada minit ke-77 berjaya dihalang penjaga gol Serbia, Predrag Rajkovic untuk menyelamakan gawang pasukannya daripada dibolosi kali kedua.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Jun 2024 @ 6:57 AM