ANJING yang duduk di hadapan rumah penduduk. FOTO Ihsan penduduk Taman Awani Bangi
ANJING yang duduk di hadapan rumah penduduk. FOTO Ihsan penduduk Taman Awani Bangi
Noor Hidayah Tanzizi

Bangi: Bukan seekor dua, bahkan puluhan anjing liar di Taman Awani Bangi di sini menyebabkan penduduk bimbang dengan ancaman yang dibawa sejak beberapa tahun lalu.

Penduduk, Rohaidatul Asma Jusoh, 40-an berkata, kehadiran haiwan itu juga menimbulkan rasa kurang senang kerana kerap meninggalkan najis di hadapan rumah termasuk kediamannya.

Katanya, sejak berpindah ke taman perumahan itu, awal tahun lalu, dia terkejut dengan jumlah anjing liar banyak berkeliaran di kawasan sekitar terutama pada waktu pagi.

"Saya difahamkan isu anjing jalanan ini sudah lama dan saya sedar memang ada haiwan di persekitaran kita, tetapi kalau jumlahnya sudah terlalu banyak, ia membimbangkan dan jadi kurang selesa.

"Kumpulan anjing itu juga suka duduk di bawah kereta dan saya nak berjalan ke kereta pun takut kerana pernah dikejar haiwan itu sebelum ini.

"Kita juga tak boleh biarkan pagar rumah terbuka kerana ada yang masuk ke dalam rumah.

"Pernah beberapa kali kasut anak saya yang baru dibeli hilang sebelah dan akhirnya ditemui di padang dalam keadaan koyak rabak, malah kasut suami juga pernah dibawa lari anjing," katanya.

Menurutnya, dia lebih sakit hati apabila terpaksa kerap mencuci kawasan hadapan rumah disebabkan najis anjing liar.

"Saya bukan membenci atau tiada rasa belas pada haiwan, tetapi kalau sudah banyak sehingga lebih 10 anjing di kawasan ini siapa saja yang tahan. PBT perlu ambil tindakan selesaikan isu ini secara tuntas," katanya yang mendakwa pernah melihat ada individu memberi makan haiwan itu berhampiran rumah mereka.

ROHAIDATUL Asma menunjukkan najis yang ditinggalkan haiwan liar. FOTO Hazreen Mohamad
ROHAIDATUL Asma menunjukkan najis yang ditinggalkan haiwan liar. FOTO Hazreen Mohamad

Seorang lagi penduduk, Shakiera Razali, 38, memberitahu turut bimbang dengan lambakan anjing liar dan mengakui tidak tahan apabila haiwan berkenaan 'menyelongkar' sampah di dalam tong yang diletakkan di luar rumah.

Katanya, haiwan itu juga pernah menyerang kucing jalanan berhampiran rumahnya dan insiden disedari suaminya yang bertindak menghalau anjing berkenaan.

"Risau juga jika ada najis terkena kita, harta benda dan apabila anjing terlalu banyak, memang tidak selesa. Kita nak bagi anak bermain di padang juga bimbang. Bunyi salakan (kumpulan) anjing pada waktu malam menakutkan terutama buat anak masih kecil.

"Saya sentiasa pastikan pagar rumah sentiasa tertutup kerana kerap jadi tempat anjing berlegar...sekurang-kurangnya tiga ke empat ia suka duduk di bawah kereta kami," katanya.

Shakiera sudah empat tahun menetap di kawasan itu dan pernah membuat aduan kepada pihak berkuasa berhubung masalah berkenaan.

Dalam pada itu, Pengerusi Penduduk Taman Awani Bangi, Mohd Firdaus Che Mustafa berkata, pihaknya sering menerima aduan anjing liar dan memaklumkan isu itu sudah dilapor kepada pihak PBT.

"Kita perlu juga menjaga sensitiviti penduduk. Kalau sampai najis berlonggok depan rumah, tidak dinafikan ia sangat kurang menyenangkan," katanya.

Ikuti penjelasan pihak berkuasa berhubung isu ini dalam terbitan Harian Metro esok.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Jun 2024 @ 7:01 AM