ASDINA Ariffin bersama Syamimi yang kini tidak boleh berjalan dan hilang daya penglihatan. FOTO Ihsan Asdina Ariffin Suwadi
ASDINA Ariffin bersama Syamimi yang kini tidak boleh berjalan dan hilang daya penglihatan. FOTO Ihsan Asdina Ariffin Suwadi
Noor Hidayah Tanzizi

Melaka: Keputusan berat diambil lelaki ini apabila terpaksa 'berpisah' sementara dengan isteri tercinta yang tidak mampu berjalan dan hilang daya penglihatan selepas otaknya dijangkiti kuman demi kelangsungan hidup mereka.

Itu dilalui Asdina Ariffin Suwadi, 32, apabila terpaksa menghantar isterinya, Noor Syamimi Rohim, 33, kepada keluarganya di Felda Lui Selatan 1, Negeri Sembilan kerana bimbang tinggal seorang diri di rumah ketika dia bekerja.

Sebelum ini, Asdina Ariffin mendapat perhatian kerana setia menjaga dan menguruskan Noor Syamimi yang tidak mampu berjalan dan hilang daya penglihatan selepas otaknya dijangkiti kuman pada Jun 2022.

Tukang rumah itu berkata, jika diikutkan dia tidak mahu berpisah dengan isteri namun keadaan ekonomi keluarga membuatkannya terpaksa mengambil keputusan terbabit selepas berbincang dengan semua terutama keluarga mentua.

"Kami sepakat buat masa ini Syamimi dijaga keluarganya untuk sementara saya kerja dan kini sudah hampir dua bulan isteri tinggal di kampung. Saya akan cuba pulang ke kampung setiap minggu namun perlu melihat kepada kerja juga.

"Insya-Allah apabila ekonomi kembali stabil saya akan membawa semula Syamimi tinggal bersama di rumah kerana sebelum ini kami bergantung dengan wang simpanan," katanya ketika dihubungi, semalam.

Asdina Ariffin berkata, isteri sebelum ini seorang yang aktif dan jarang sakit, namun kehidupannya berubah sepenuhnya selepas otaknya dijangkiti kuman dan memerlukan bantuan untuk menguruskan dirinya setiap hari.

Menurutnya, isteri juga mengalami masalah daya ingatan dan kebanyakan memorinya adalah kenangan pada 2018 malah dia juga masih beranggapan beberapa ahli keluarga mereka yang sudah meninggal dunia masih hidup.

"Alhamdulillah, keadaan kesihatan Syamimi sekarang baik namun dia masih tidak boleh berjalan dan hilang daya penglihatan. Cuma sehingga kini dia belum ingat saya sebagai suami dan ingat kami masih belum bernikah (masih berkawan).

"Apabila saya cakap kami sudah berkahwin, dia cakap belum lagi dan perasaan itu memang sedih terutama ketika mula-mula dia tak ingat saya sebagai suaminya kerana ketika itu hati saya belum betul-betul reda menerima ujian ini," katanya.

Menurutnya, sepanjang tempoh perkahwinan mereka ketika Noor Syamimi sihat, isterinya disifatkan bukan saja mengutamakan keluarga, malah sentiasa menyokongnya, ceria dan tetap bersamanya ketika susah dan senang.

Katanya, justeru, tiada alasan untuknya meninggalkan wanita kesayangan ketika dia diuji dengan masalah kesihatan dan turut mengakui sehingga kini tidak pernah berhenti berharap dan berdoa supaya isteri kembali sihat.

"Saya jaga Syamimi kerana kasih dan cinta kepadanya selain pengorbanannya sebagai isteri ketika dia sihat dahulu, selain ini memang tanggungjawab saya sebagai suami, namun sekarang kami terpaksa berpisah sementara," katanya.

Dia yang menetap di Taman Bertam Impian di sini, berkata selagi ada daya dan usia dia akan menjaga Noor Syamimi dan tidak pernah putus berdoa supaya wanita kesayangannya kembali sihat.

"Saya bukan saja berjanji dengan isteri yang mahu sentiasa ada bersama di saat susah dan senang, tetapi turut berjanji pada keluarganya dan Allah SWT saat akad nikah dilafazkan. Jadi saya akan cuba menjaganya dengan baik selagi ada daya.

"Perkahwinan kami belum dikurniakan cahaya mata dan sekarang kami juga diuji dengan keadaan kesihatan isteri, tetapi bagi saya perkahwinan ini bukan hanya berlandaskan nafsu saja tetapi sebenarnya mencari keredaan Allah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Jun 2024 @ 7:16 AM