Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Taiping: 'Dia dalam perjalanan ke rumah kami di untuk persiapan ibu yang akan ke Makkah bagi menunaikan ibadah Haji 31 Mei ini," kata Sharizal Shaffie, 40, abang kepada Mohd Fahimi Shaffie, 36, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 262.5 Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) arah utara, semalam.

Turut maut dalam kejadian itu adalah isteri Mohd Fahimi iaitu Nor Aserah Ismail, 36, manakala dua anak pasangan itu yang berusia empat dan lapan tahun dalam keadaan parah kini dirawat di Hospital Ipoh,

Sharizal berkata Mohd Fahimi Shaffie dan Nor Aserah dalam perjalanan dari Lekir ke rumahnya di Batu 8, Changkat Jering untuk persiapan ibunya.

Menurutnya, hampir setiap minggu pasangan itu akan pulang dan tiba di rumah pada jam 9 malam selepas mengambil Nor Aserah yang mengajar di sebuah sekolah Kafa di Lekir.

"Adik baru sahaja dua bulan berpindah dari Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Gemencih dan kini mengajar di MRSM Bagan Datuk.

"Arwah anak ke tiga dari empat beradik dan sebenarnya kami sedang menguruskan persiapan haji ibu kami yang akan berangkat pada 31 Mei ini," katanya.

Menurutnya, jenazah suami isteri itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Batu 8, Changkat Jering pada petang ini.

Ibu Mohd Fahimi iaitu Norzarina Ibrahim, 64, berkata hajat arwah untuk menghantarnya ke Lapangan Terbang Antarabangsa, Pulau Pinang untuk menunaikan ibadah haji tidak kesampaian dan dia redha dengan kejadian tersebut.

Jenazah Mohd Fahimi dan isteri diibawa menaiki van mayat untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Batu 8, Changkat Jering. FOTO SHAIFUL SHAHRIN AHMAD PAUZI
Jenazah Mohd Fahimi dan isteri diibawa menaiki van mayat untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Batu 8, Changkat Jering. FOTO SHAIFUL SHAHRIN AHMAD PAUZI

Sementara itu Normahlina Mohd Noor, 45, tidak menyangka bahawa kemalangan itu membabitkan sepupunya sendiri.

Dia berkata sekitar jam 11.15 malam dia bersama dua rakan termasuk pemandu ambulans bergegas ke lokasi bagi memberi bantuan kepada mangsa kemalangan.

"Setibanya di sana saya dapati tiga kanak-kanak itu sudah dikeluarkan manakala bapa mereka masih lagi bernafas ketika pasukan bomba berusaha mengeluarkannya.

"Lokasi gelap dan saya langsung tidak menyedari mangsa lelaki itu adalah sepupu paling rapat sejak kecil.

"Sehinggalah tiba di Hospital Taiping, ibu saudara memanggil saya dan baru sedar mangsa dan kanak-kanak dari kenderaan Perodua Bezza itu adalah sepupu saya sendiri," katanya ditemui di perkarangan Forensik Hospital Taiping.

Tiga maut manakala enam lagi cedera dalam nahas membabitkan dua kenderaan itu.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, dalam kejadian membabitkan Perodua Bezza dan Honda Civic itu, seorang lelaki dan dua wanita maut.

Mangsa menaiki kereta jenis Honda Civic, Haminah Majid, 73, yang berada di tempat duduk belakang, maut manakala pemandu wanita berusia 29 tahun yang juga adalah anggota Tentera Laut Di Raja Malaysia (TLDM) cedera.

Mereka dalam perjalanan dari Lumut ke Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2024 @ 6:04 PM