SAARANI (dua kanan) meninjau keadaan jalan di Projek WCE Changkat Jering. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Fauzi
SAARANI (dua kanan) meninjau keadaan jalan di Projek WCE Changkat Jering. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Fauzi
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Taiping: Projek Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) dijangka dibuka dengan rasmi pada suku tahun pertama iaitu sebelum Aidilfitri.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, awalnya kerajaan menjangkakan Seksyen 11 (Persimpangan Beruas-Taiping Selatan) WCE ini akan dibuka penghujung Disember lalu namun berlalu sedikit kelewatan.

Menurutnya, WCE sudah siap 98 peratus pada 1 Disember dan kini memasuki tahap pemeriksaan, pemantauan dan sijil dari pihak Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM).

"Dijangka terdapat dua kawasan Rehat dan Rawat (R&R) di dua-dua arah akan dibina di Seksyen 11 ini.

"Sekiranya dibuka kelak kerajaan dijangka akan memberi 'tol percuma' kepada pengguna selama sebulan dan kita yakin WCE dapat dibuka sepenuhnya Aidilfitri ini," katanya selepas mengadakan lawatan kerja bersama Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak ke projek WCE di Changkat Jering, disini,hari ini.

WCE adalah sebuah projek infrastruktur negara yang dilaksanakan secara penswastaan yang menghubungkan Taiping di Perak dengan Banting Selangor dengan panjang keseluruhan 233 kilometer.

Sehingga kini lima dari 11 seksyen pembinaan lebuh raya ini sudah dibuka membabitkan Seksyen 5 (Klang-Kapar) dan Seksyen 6 (Kapar - Assam Jawa) di Selangor, Seksyen 8 (Hutan Melintang - Telok Intan), Seksyen 9 (Kampung Lekir-Changkat Chermin) dan Seksyen 10 (Changkat Chermin-Beruas) di Perak.

Sementara, Seksyen 11 yang sepanjang 35.5 kilometer adalah pelengkap kepada jajaran lebuh raya WCE di Perak dan kini berada di fasa terakhir sebelum dibuka secara rasmi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 January 2024 @ 12:44 PM