PENGENDALI Serbia, Dragan Stojkovic. FOTO Agensi
PENGENDALI Serbia, Dragan Stojkovic. FOTO Agensi
AFP

Gelsenkirchen, Jerman: Ketua jurulatih Serbia, Dragan Stojkovic menegaskan anak buahnya berhak mendapat keputusan lebih baik daripada kekalahan di tangan England pada aksi pembukaan Kumpulan C Euro 2024 itu.

Jelas Stojkovic, kekalahan 1-0 itu seolah tidak adil buat pasukannya yang sebenarnya turut mempamerkan aksi bertenaga namun ketumpulan jentera hadapan agak mengecewakan.

England yang turut selaku pasukan pilihan nyata menguasai aksi di babak pertama dan hasilnya mendahului menerusi tandukan Jude Bellingham pada minit 13.

Namun begitu, kebangkitan luar biasa diperagakan oleh pemain Serbia pada separuh masa kedua yang berusaha memburu gol penyamaan dengan penjaga gol England, Jordan Pickford cukup sibuk di depan gawang.

"Untuk berdepan dengan barisan pertahanan England, saya amat berbangga dengan reaksi pemain terutama penyerang," kata Stojkovic.

"Kami tidak layak untuk dikalahkan tetapi itulah hakikatnya. Kami akan cuba bangkit dan terus memandang ke depan," katanya lagi.

Stojkovic membuat beberapa pertukaran berani dalam kesebelasan utama termasuk tidak menyenaraikan ketua pasukan, Dusan Tadic dengan menggantikan penjaring terbanyak Serbia sepanjang zaman, Aleksandar Mitrovic bagi memburu gol.

"Kami berusaha sebaik mungkin untuk mendapatkan dan mencipta gerakan ke kubu lawan. Namun pertahanan England cukup ampuh," katanya.

Selepas ini Serbia akan menentang Slovenia di Munich sebelum menentang Denmark dalam perlawanan terakhir mereka dalam Kumpulan C.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Jun 2024 @ 7:46 AM