Kerja pembinaan WCE di Beruas, Perak. (Gambar kecil) Ketua Pengarah LLM Datuk Aziz Abdullah.
Kerja pembinaan WCE di Beruas, Perak. (Gambar kecil) Ketua Pengarah LLM Datuk Aziz Abdullah.
Shamsul Kamal Amarudin


EMPAT pakej Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) Banting-Taiping yang sebelum ini dikatakan akan dibuka sebelum akhir bulan ini, kemungkinan belum boleh digunakan.

Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Datuk Aziz Abdullah berkata, ia berikutan masih ada kerja-kerja yang masih perlu dilaksanakan bagi memastikannya benar-benar selamat digunakan oleh pengguna kenderaan.

Bagaimanapun, beliau berkata, semua pihak sedang berusaha untuk memastikan empat jajaran atau pakej itu membabitkan tiga pakej di Perak dan satu pakej di Selangor boleh dibuka kepada orang ramai secepat mungkin.

“Kita akan buka apabila ia siap sepenuhnya kerana tidak mahu dibuka sementara (semata-mata untuk hari raya) kemudian ditutup kembali, nanti orang ramai akan marah pula,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tiga pakej di Perak membabitkan pakej lapan iaitu laluan Hutan Melintang ke Teluk Intan sepanjang 19.1 kilometer (km), pakej sembilan membabitkan laluan Lekir ke Changkat Chermin (28 km) dan pakej 10 membabitkan laluan Changkat Chermin ke Beruas (16.6 km), manakala pakej Selangor ialah di utara negeri itu.

Pada Februari lalu, Pengarah Urusan West Coast Expressway Sdn Bhd Datuk Neoh Soon Hiong dilaporkan berkata lima pakej persimpangan WCE dijangka dibuka sebelum sambutan Aidilfitri bagi memudahkan pengguna jalan raya pulang ke destinasi masing-masing.

Soon Hiong dipetik sebagai berkata, perkara itu bergantung kepada Kerajaan Persekutuan untuk meluluskan pembukaan lima pakej itu iaitu Seksyen 4,5 di Selangor serta Seksyen 8, 9 dan 10 di Perak.

Beliau dilaporkan berkata demikian selepas sesi taklimat projek sempena lawatan kerja Timbalan Menteri Kerja Raya, Mohd Anuar Mohd Tahir ke tapak projek Lebuhraya WCE di Plaza Tol Hutan Melintang, Seksyen 8 di Bagan Datuk.

Aziz berkata, apabila empat pakej itu dibuka nanti, buat sementara waktu ia akan bersifat setempat iaitu memberi kemudahan kepada penduduk yang tinggal di sepanjang jajaran bahagian lebuh raya yang dibuka itu saja.

Sehubungan itu, katanya, ia dijangka tidak akan menjejaskan aliran trafik di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) atau Jalan Persekutuan di kawasan berhampiran.

Bagaimanapun, difahamkan, apabila WCE siap sepenuhnya nanti, ia mampu melakukan penyuraian trafik dan mengurangkan kesesakan terutama ketika musim perayaan bagi perjalanan dari Lembah Klang ke utara tanah air.

WCE sepanjang 233 km dibina dengan kos keseluruhan sebanyak RM5.044 bilion dengan RM3.122 bilion adalah kos bagi pakej pembinaan di Selangor, manakala RM1.922 bilion lagi membabitkan pakej pembinaan di Perak.

Penasihat Menteri Besar, Datuk Zainal Fadzi Paharuddin, ketika menjadi Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air sebelum ini dilaporkan berkata, jajaran WCE di Perak adalah sepanjang 139.2 kilometer (km) dan dibina secara serentak membabitkan lima pakej iaitu pakej lapan hingga 12.

Katanya, ia akan membabitkan pembinaan 11 susur keluar dan persimpangan bertingkat selain tiga kawasan rehat dan rawat (R&R).

Sebanyak 11 persimpangan bertingkat akan dibina di Hutan Melintang, Teluk Intan, Lekir, Sitiawan Selatan, Sitiawan Utara, Changkat Chermin, Kinta Barat, Beruas, A130, Trong dan Taiping Selatan.

Lebuh raya itu yang bermula di Banting, Selangor berakhir di Changkat Jering dekat Taiping, dengan pemandu kenderaan yang menggunakan WCE boleh terus ke utara menggunakan laluan PLUS yang bersambung dengan lebuh raya itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mei 2019 @ 5:55 PM