Suliati Asri


JIKA ingin melihat masa depan sesebuah negara, maka lihatlah pada keadaan generasi mudanya hari ini.

Jika generasi mudanya hari ini memiliki jati diri yang unggul dan hebat, adalah menjadi satu jaminan bahawa masa depan negara akan terjamin dan maju.

Justeru itu, ekosistem pendidikan MARA yang ampuh dan mampan pada abad ke-21 ini berupaya memenuhi kehendak dan agenda kerajaan untuk menjadi negara MADANI menerusi pembangunan modal insan, sekali gus menyokong Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, sepanjang 2023, IPMA berjaya melahirkan 28,919 graduan dalam pelbagai bidang teknikal dan profesional, dengan kadar kebolehpasaran graduan mencapai 94.34 peratus.

"Graduan IPMA juga diakui mudah mendapat pekerjaan,

sekali gus bukti komitmen dan usaha IPMA mempersiapkan graduan untuk dunia pekerjaan.

"Untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan, MARA bekerjasama dengan badan profesional dan industri bagi membangunkan kurikulum serta memperluas program diploma dan profesional.

"Buktinya, Ensuring Employability Programme (EEP) memberikan manfaat kepada seramai lebih 15,000 peserta, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada generasi muda Malaysia," katanya pada Majlis Konvokesyen Perdana IPMA 2024 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan

Dunia (WTC), di sini.

Pada majlis itu, MARA menerusi Institut Kemahiran MARA (IKM), Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM), MARA Japan Industrial Institute (MJII) dan Kolej Profesional MARA melahirkan 8,447 graduan bagi tahun 2024.

Rubiah berkata, tidak dapat dinafikan, MARA menjadi tonggak utama dalam usaha meningkatkan status sosioekonomi Bumiputera.

RUBIAH berucap ketika Majlis Perasmian dan Pengisytiharan Pembukaan Majlis Konvokesyen Perdana IPMA 2024.
RUBIAH berucap ketika Majlis Perasmian dan Pengisytiharan Pembukaan Majlis Konvokesyen Perdana IPMA 2024.

Namun katanya, dalam kerancakan melahirkan modal insan yang memiliki kepakaran setanding graduan universiti ternama yang lain, kita harus berfikir dan berusaha untuk mengubah mindset serta hala tuju.

"Kita mahukan graduan Bumiputera bukan sekadar bekerja,

tetapi pada akhirnya menjadi 'pemain industri' dengan memiliki entiti perniagaan di pelbagai lapangan industri,"katanya.

Bukan itu saja, MARA juga berjaya melahirkan pelajar dan pengajar dalam pelbagai lapangan yang berjaya menempah nama di peringkat dalam dan luar negara.

Prestasi ini menurut Rubiah menunjukkan bahawa pelajar IPMA mempunyai kemahiran yang tinggi dan boleh bersaing di peringkat antarabangsa.

"Kejayaan ini juga membuktikan pendidikan di IPMA berkualiti serta berkelas dunia. Pencapaian membanggakan yang dirai saban tahun harus juga menjadi inspirasi buat graduan sebagai persediaan menempuh dunia sebenar, sekaligus merealisasikan formula 3P selari dengan kerangka ekonomi MADANI," katanya.

Dinobatkan sebagai salah seorang penerima Anugerah Graduan Terbaik pada Majlis Konvokesyen Perdana IPMA 2024, Nur Irdiena Natasya Barni, 22, selain bersyukur dan terharu, penganugerahan itu juga berjaya membuktikan perempuan juga cemerlang dalam bidang robotik yang biasa didominasi lelaki.

Menurut graduan Diploma Kejuruteraan Elektronik (Robotik dan Automasi) MJII ini, walaupun ramai yang beranggapan perempuan tidak mampu untuk berjaya dalam bidang

elektronik dan kejuruteraan, namun hakikatnya dengan minat dan keazaman, tiada yang mustahil.

"Sejujurnya, di awal pengajian, saya juga merasa tercabar kerana umumnya bidang ini didominasi oleh lelaki. Selain itu, kursus ini sendiri sangat mencabar.

RUBIAH menyampaikan Anugerah Graduan Diploma Cemerlang kepada Muhammad Irsyad.
RUBIAH menyampaikan Anugerah Graduan Diploma Cemerlang kepada Muhammad Irsyad.

"Namun, bagi saya, ini adalah peluang untuk membuktikan bahawa perempuan juga boleh berjaya dalam bidang ini," katanya yang bercita-cita menjadi pensyarah dalam bidang TVET.

Minat dalam bidang robotik ini sejak menyertai Kelab Robotik ketika berada di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) membuatkan Nur Irdiena terus melakukan yang terbaik sepanjang pengajian.

Bagaimanapun, perjalanannya bersama rakan-rakan sepanjang tiga tahun pengajian tidak mudah kerana banyak cabaran yang dihadapi.

"Kami adalah 'batch' yang memulakan pengajian semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Jadi, sepanjang dua tahun pertama, kami perlu belajar secara dalam talian.

"Namun, saya bersyukur kerana sistem pengajian di MJII memudahkan. Selain itu, saya bersama rakan juga gemar belajar secara dalam kumpulan yang sememangnya cukup membantu sepanjang pengajian,"katanya.

Penerima Anugerah Graduan Keusahawanan Cemerlang Mohamed Al-Aliff Hamzah, 29, menyifatkan keputusannya menyambung pengajian di peringkat diploma dalam teknousahawan elektrik adalah tepat.

Katanya, selepas belajar di peringkat sijil, dia terus berniaga tanpa pengalaman dan ilmu terutama dalam pemasaran dan pengurusan perniagaan yang betul.

"Apabila melanjutkan pelajaran banyak ilmu dalam bidang perniagaan yang dipelajari. Pengalaman yang ada juga membantu memudahkan proses pembelajaran.

"Walaupun berhadapan dengan kesukaran sepanjang pengajian terutama dari segi membahagikan masa antara pelajaran, perniagaan dan keluarga, ilmu yang diperoleh secara tidak langsung dapat membantu saya mengembangkan perniagaan," katanya yang juga pemegang Diploma Teknousahawan Elektrik dari IKM Seberang Perai Utara.

NUR Irdiena Natasya menerima anugerah disampaikan Rubiah bersama bapanya, Barni Abdullah (kanan) dan ibunya, Zuraidah Madi.
NUR Irdiena Natasya menerima anugerah disampaikan Rubiah bersama bapanya, Barni Abdullah (kanan) dan ibunya, Zuraidah Madi.

Mengakui pentingnya ilmu dalam apa juga bidang yang diceburi, Mohamed Al-Aliff yang juga bapa kepada dua cahaya mata itu menyarankan masyarakat terutama golongan belia untuk terus menimbah ilmu.

"Di MARA, usia bukan penghalang untuk seseorang melanjutkan pengajian kerana selain menawarkan pelbagai kursus pengajian dari peringkat sijil hingga ijazah sarjana, had umur pelajar juga adalah sehingga maksimum 40 tahun.

"Oleh itu, nasihat saya kepada masyarakat di luar sana, jika merasa ilmu atau bidang yang dipelajari boleh menjadi nilai tambah untuk diri, perniagaan atau kemahiran, sambunglah belajar.

"MARA juga menyediakan banyak platform dan peluang yang bersesuaian untuk semua golongan. Jadi, rebutlah peluang yang ada,"katanya.

Kejayaan meraih jualan sebanyak RM150,000 yang juga adalah syarat utama untuk lulus pengajian dalam bidang teknousahawan Rekabentuk dan Pengeluaran Perabot, IKM Alor Setar melayakkan Mior Khumaini Khuzaid, 24, dinobatkan sebagai penerima Anugerah Khas Industri MKP 2024.

Menurut anak kelahiran Kedah ini, dia sama sekali tidak pernah menyangka mampu untuk mencapai jualan setinggi itu kerana enam bulan pertama melanjutkan pengajian, dia tidak mempunyai sebarang jualan.

"Tidak mampu membuat jualan sepanjang enam bulan pertama pengajian memang memberikan tamparan hebat buat saya. Maklumlah untuk mendapatkan target jualan yang ditetapkan, kita perlu bermula dari awal.

"Masa tu, saya hampir putus asa. Tapi, mengingatkan pesan itu yang meminta saya untuk terus ke hadapan walau apa yang berlaku, saya bangkit mencari penyelesaian.

"Bermula dari situ, saya aktif membuat promosi di pelbagai platform media sosial terutama TikTok dan Facebook. Alhamdulillah, strategi itu menjadi,"katanya.

Mior Khumaini juga bersyukur kerana IKM Alor Setar sentiasa membantu pelajarnya dalam pelbagai aspek termasuk menyediakan kelas mengenai pemasaran dalam pelbagai platform. Sebagai pelajar, kami hanya perlu menghadiri kelas.

Sementara itu, bagi penerima Anugerah Graduan Cemerlang Program Diploma, Muhammad Irsyad Zulkepli, 22, berkata, menceburi bidang TVET tidak menghalangnya untuk terus mengejar cita-citanya menjadi pendidik.

Katanya, yang juga graduan Diploma Teknologi Penyejukan dan Penyamanan Udara di IKM KL, bidang TVET ini sangat besar. Walaupun bercita-cita menjadi guru, tapi bidang ini mempunyai kaitan dengan cita-cita saya sebagai pendidik. Malah, saya juga boleh jadi pensyarah di universiti atau mana-mana institusi.

"Sejujurnya, saya tidak mempunyai apa-apa pengetahuan mengenai bidang kemahiran atau TVET kerana hanya fokus untuk menjadi seorang guru.

"Namun, selepas menyambung pengajian dalam bidang Teknologi Penyejukan dan Penyamanan Udara di IKM KL, bagi saya bidang TVET ini sangat besar.

"Saya memilih bidang teknologi penyejukan dan penyaman udara kerana di samping belajar, saya juga boleh mengajar dan menjadi usahawan.

"Silibus pembelajaran yang ditawarkan kursus ini juga sangat meluas kerana sepanjang pengajian, kami juga mempelajari banyak subjek antaranya elektrik, kimpalan, pengurusan perniagaan, akaun dan banyak lagi yang turut mempunyai peluang kerjaya yang banyak,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Jun 2024 @ 7:01 AM