Mohd Naim bersama Syed Hamadah (bertopi) dan Ahli Lembaga Pengarah TH Dr Mohammed Azman (belakang) bertanyakan sesuatu kepada salah seorang pesakit di Hospital Tabung Haji di Shisha, kelmarin. FOTO Husain Jahit
Mohd Naim bersama Syed Hamadah (bertopi) dan Ahli Lembaga Pengarah TH Dr Mohammed Azman (belakang) bertanyakan sesuatu kepada salah seorang pesakit di Hospital Tabung Haji di Shisha, kelmarin. FOTO Husain Jahit
Husain Jahit


Makkah: Lembaga Tabung Haji (TH) melaporkan tiga (3) kematian baru termasuk seorang yang meninggal hari ini membabitkan jemaah pakej dari Pengelola Jemaah Haji (PJH).

Allahyarham Sakinah Jalil, 66, berasal dari Sungai Buloh, Selangor meninggal dunia di pekarangan sebuah pasaraya di Syisa akibat serangan jantung jam 4.30 petang, kelmarin.

Dua lagi kematian iaitu jemaah dari Jengka, Pahang, Allahyarham Baharuddin Mohd Shood berusia 75 tahun dan Allahyarham Abd Manaf Hanafiah, 65, dari Alor Star, Kedah.

Allahyarham Baharuddin meninggal dunia pada 11 Jun 2024 jam 5.10 petang akibat kanser usus yang didapati sudah merebak ke sistem hempedu.

Manakala Allahyarham Abd Manaf meninggal dunia akibat serangan jantung di hospital Makkah Medical Centre, pada 13 Jun 2024 jam 5.30 petang.

Kedua-dua Allahyarham Baharuddin dan Abd Manaf telah disembahyangkan di Masjidil Haram sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Syaraiee.

Mohd Naim menenangkan salah seorang pesakit di Hospital Tabung Haji di Shisha, kelmarin. FOTO Husain Jahit
Mohd Naim menenangkan salah seorang pesakit di Hospital Tabung Haji di Shisha, kelmarin. FOTO Husain Jahit

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar, berkata beberapa jemaah juga telah dimasukkan ke Hospital Tabung Haji di Shisha akibat cuaca yang panas ketika di Arafah, Muzdalifah dan Mina.

"Kebanyakan pesakit yang dimasukkan ke hospital ini disebabkan cuaca panas di Arafah, Muzdalifah dan Mina mengakibatkan beberapa jemaah jatuh sakit di sebabkan masalah berkaitan paru-paru," katanya kepada Petugas Media Tabung Haji selepas mengadakan lawatan ke Hospital Tabung Haji, di sini kelmarin.

Turut hadir ialah Pengerusi TH, Tan Seri Abdul Rashid Hussain, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Syed Hamadah Syed Othman, Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman dan dua orang ahli Lembaga Pengarah iaitu Datuk Seri Dr Mohammed Azman Datuk Aziz Mohammed dan Abdul Mokhti Salleh.

Sebelum itu TH melaporkan satu kebakaran berlaku membabitkan dapur di sebuah khemah milik syarikat PJH, namun keadaan terkawal dan tidak mengganggu operasi haji.

Mohd Naim berkata, dukacita dimaklumkan satu kebakaran dapur salah sebuah khemah milik syarikat PJH itu namun dapat dikawal daripada merebak kerana pihak bomba datang dengan pantas.

Menurutnya, keadaan jemaah haji yang berada berhampiran kawasan tersebut ketika kejadian juga berada dalam keadaan selamat.

"Punca kejadian kebakaran masih disiasat oleh pihak berkuasa.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak bomba yang mengambil tindakan pantas dan dapat mengawal situasi dalam jangka masa pendek," jelasnya

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu kebakaran membabitkan sebuah dapur di khemah milik PJH berhampiran kompleks Jamarat semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Jun 2024 @ 8:05 AM