Noor Hidayah Tanzizi

Kuala Lumpur: "Hadiah dan kejutan sambutan Hari Bapa ini tidak dapat membalas semua usaha, jasa dan pengorbanan Uncle Mike yang sanggup menjaga kami sejak kecil."

Begitu kata Rafie Ahmad Fauzi, 29, anak yatim piatu yang dijaga lelaki Cina, Michael Tong Wai Siong, 55, sejak kecil bersama dua adiknya, Rasyid, 28, dan Abdul Rahman, 24.

Rafie yang juga bapa kepada dua anak itu berkata, lebih membuatkannya terharu apabila bapa angkatnya selalu memikirkan dia dan dua adiknya berbanding diri sendiri.

"Kami tiga beradik memang tak mampu balas jasa dan pengorbanan Uncle Mike, malah dia sanggup habiskan usia muda menguruskan kami walaupun tiada pertalian darah dan sehingga kini bujang.

"Kami tak pernah melarang Uncle Mike berkahwin dan terima saja siapa pilihannya. Kami mahu bersama Uncle Mike sampai bila-bila kerana dia umpama ayah," katanya pada majlis kejutan sambutan Hari Bapa untuk meraikan Michael di sebuah restoran, di sini, semalam.

Sementara itu, Michael berkata, dia menganggap pergorbanannya menjaga tiga beradik berkenaan tugas yang perlu diselesaikan di dunia ini sebagai 'penyambung' amanah ibu bapa mereka yang meninggal dunia sejak mereka kecil.

"Macam mana pun saya tak boleh ganti arwah mak dan ayah mereka dan pengorbanan saya tetap tidak sama seperti kedua-dua arwah. Saya cuma mahu berikan yang terbaik untuk mereka.

"Menjaga mereka memang cabaran besar, namun bersama mereka sejak kecil pada usia muda saya ketika itu bukan penyesalan.

"Sebaliknya ia kenangan terindah dan perkara baik yang saya lakukan dalam dunia selain menjaga keluarga sendiri," katanya.

RAFIE (tiga dari kanan) bersama adiknya, Rasyid (tiga dari kiri) dan keluarga mereka ketika mengadakan kejutan sambutan Hari Bapa sebagai penghargaan untuk Michael. FOTO Hairul Anuar Rahim
RAFIE (tiga dari kanan) bersama adiknya, Rasyid (tiga dari kiri) dan keluarga mereka ketika mengadakan kejutan sambutan Hari Bapa sebagai penghargaan untuk Michael. FOTO Hairul Anuar Rahim

Ahli perniagaan itu berkata, dia tidak menolak antara faktor dia terus mem bujang kerana memikirkan tiga 'anaknya' dan bimbang jika pasangannya tidak dapat menerima mereka sebagai keluarga selain belum sampai jodohnya.

"Dulu risau orang lain tak boleh terima sebab mereka bukan anak, tetapi saya tak pernah menganggap mereka penghalang hubungan saya. Lagipun ketika itu fokus saya memang mahu menjaga mereka.

"Saya bersyukur sehingga kini kami masih bersama, malah keluarga juga semakin besar apabila anak berkahwin, saya ada cucu dan seorang lagi anak bakal berkahwin tidak lama lagi.

"Malah, hari ini (semalam) saya gembira apabila kami meraikan sambutan Hari Bapa di luar bersama rakan lain. Selalunya kami sambut di rumah dan Rasyid masak, yang lain beli kek untuk makan bersama," katanya.

Katanya, sejak kisah keluarga mereka disiarkan Harian Metro dan mendapat perhatian ramai, dia menerima banyak maklum balas positif dan mengakui gembira jika kisah itu memberi inspirasi kepada orang lain.

Laporan muka depan Harian Metro sebelum ini menyiarkan kisah Michael yang menjaga Rafei, Rasyid dan Abdul Rahman sejak 16 tahun lalu yang dihantar ke rumah anak yatim selepas ibu bapa mereka meninggal dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Jun 2024 @ 7:10 AM