HARIMAU dahan ditemukan mati dipercayai dilanggar kenderaan di Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) arah Trong menghala ke Beruas, di sini, semalam. FOTO Ihsan FB Pusat Khidmat Adun Changkat Jering.
HARIMAU dahan ditemukan mati dipercayai dilanggar kenderaan di Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) arah Trong menghala ke Beruas, di sini, semalam. FOTO Ihsan FB Pusat Khidmat Adun Changkat Jering.
Muhamad Lokman Khairi


Beruas: Seekor harimau dahan jantan ditemukan mati dipercayai dilanggar kenderaan di Kilometer 253.3 Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) arah Trong menghala ke Beruas, di sini, semalam.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Yusoff Shariff, mengesahkan penemuan bangkai harimau berkenaan selepas pihaknya dimaklumkan berhubung kejadian itu pada 3 petang.

Menurutnya, harimau dahan dewasa berkenaan dipercayai mati pada Isnin lalu berdasarkan keadaan bangkai yang sudah kembung dan busuk.

"Berdasarkan penelitian terhadap keadaan bangkai terbabit, kita jangka harimau dahan itu sudah mati dua hari sebelumnya.

"Untuk makluman, Perhilitan sudah bertindak mengambil dan melupuskan bangkai terbabit," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, satu video berdurasi 22 saat tular di media sosial memaparkan bangkai seekor harimau dahan ditemukan dalam keadaan terbaring di besi penghadang jalan dan dikerumuni lalat.

Untuk rekod, ini adalah kejadian kemalangan pertama membabitkan hidupan liar di Seksyen 11 WCE menghubungkan Persimpangan Bertingkat Taiping Selatan ke Persimpangan Beruas yang baru dibuka pada 12 Mac lalu.

Jajaran sepanjang 35.5 kilometer itu dilaporkan memiliki dua terowong laluan haiwan atau animal box culvert dibina merentasi Hutan Simpan Bubu bagi kegunaan hidupan liar melintas dengan selamat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mac 2024 @ 8:05 AM