KERAJAAN mengumumkan kadar fi Lesen Kenderaan Motor (LKM) bagi ZEV atau EV ditetapkan berdasarkan kuasa motor elektrik berkuat kuasa 1 Januari 2026 pada awal bulan ini.
KERAJAAN mengumumkan kadar fi Lesen Kenderaan Motor (LKM) bagi ZEV atau EV ditetapkan berdasarkan kuasa motor elektrik berkuat kuasa 1 Januari 2026 pada awal bulan ini.

Kuala Lumpur: Permintaan terhadap kenderaan elektrik (EV) akan terus meningkat dipacu langkah peserta industri yang memperkenalkan pelbagai model baharu, selain pengurangan cukai jalan yang ketara.

Ringkasan
• Peningkatan permintaan EV dipacu pelbagai model baharu
• Pemotongan purata 85 peratus cukai jalan kenderaan EV turut mendorong peningkatan

Penganalisis Kenanga Research, Wan Mustaqim Wan Ab Aziz berkata, pemotongan purata 85 peratus cukai jalan untuk kenderaan sifar emisi (ZEV) berkuat kuasa 1 Januari 2026 dijangka menyokong peralihan penggunaan kenderaan terbabit.

Katanya, inisiatif yang tertakluk kepada semakan setiap lima tahun ini juga tidak akan menjejaskan hasil kerajaan dengan ketara.

"Sebagai perbandingan, di bawah mekanisme baharu, caj cukai jalan EV adalah RM70 untuk Hyundai Kona e-lite berbanding RM243 di bawah mekanisme sebelum ini, manakala untuk jenama premium ialah RM6,715 untuk Porsche Taycan Turbo GT berbanding RM17,494 di bawah mekanisme sebelumnya," katanya.

Awal bulan ini, kerajaan mengumumkan kadar fi Lesen Kenderaan Motor (LKM) bagi ZEV atau EV ditetapkan berdasarkan kuasa motor elektrik berkuat kuasa 1 Januari 2026.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, kadar fi baharu itu 85 peratus lebih rendah berbanding kadar sedia ada bertujuan menggalakkan rakyat beralih kepada penggunaan kenderaan ZEV.

Siew Fook berkata, kadar fi itu disemak semula setiap lima tahun bagi memastikan keberkesanannya untuk menggalakkan peralihan kepada kenderaan bebas asap dan kesannya kepada pendapatan kerajaan.

Kadar fi LKM baharu yang ditetapkan hanya terpakai kepada ZEV dalam kategori Pure Battery Electric Vehicle (PBEV) dan Fuel Cell Electric Vehicle (FCEV).

Kadar itu meningkat selaras kenaikan kuasa motor elektrik, secara amnya peningkatan kuasa motor elektrik mewakili peningkatan dalam harga belian, saiz, segmen dan berat.

Prinsip penetapan fi dibuat berdasarkan kadar blok dengan setiap blok ditetapkan pada julat kuasa motor 100,000 watt.

Sebagai contoh, blok 1 adalah bagi ZEV yang mempunyai kuasa motor elektrik daripada satu watt hingga 100,000 watt, blok 2 antara 100,001 hingga 210,000 watt dan seterusnya.

Bagi setiap blok, ditetapkan had minimum dan maksimum kadar fi LKM. Sebagai contoh, kadar fi LKM bagi blok 1 adalah RM20, kadar maksimum RM70 manakala blok 3, kadar fi minimum RM305 dan maksimum pula RM575.

Bagi setiap blok, kadar kenaikan fi LKM ditetapkan secara progresif dengan setiap kenaikan 9,999 watt dikenakan tambahan bayaran mengikut kadar kenaikan yang ditetapkan dalam blok terbabit.

Sebagai contoh, dalam blok 2, kadar minimum fi LKM pada kuasa motor elektrik 100,001 watt ditetapkan RM80. Dengan kenaikan 9,999 Watt, kuasa motor elektrik seterusnya adalah pada 110,000 watt.

Contohnya, bagi kenderaan BYD Dolphin Premium Standard Range berkapasiti 130 kilowatt (kW) hanya dikenakan fi LKM sebanyak RM120 berbanding kadar sedia ada RM624.

Bagi Tesla Model Y berkapasiti 220kW adalah RM305 sahaja berbanding fi LKM sedia ada bernilai RM2,583.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Jun 2024 @ 7:32 AM