POLIS menenangkan keadaan di sebuah restoran selepas penyokong England dan Serbia bergaduh. FOTO Agensi
POLIS menenangkan keadaan di sebuah restoran selepas penyokong England dan Serbia bergaduh. FOTO Agensi
AFP

Gelsenkirchen, Jerman: Pergaduhan antara penyokong England dan Serbia berlaku di sebuah restoran beberapa jam sebelum aksi antara kedua-dua pasukan berlangsung di Arena AufSchalke, di Gelsenkirchen, awal pagi tadi.

Menurut jurucakap polis, beberapa penyokong tercedera dalam pergaduhan yang menyaksikan kerusi di restoran itu dibaling ke arah kumpulan penyokong masing-masing.

Difahamkan, pihak polis bertindak pantas dengan menahan beberapa penyokong bagi meleraikan insiden itu.

"Berlaku pergaduhan antara penyokong England dan Serbia sebelum polis membantu menyuraikan insiden itu," kata pihak polis.

Seorang pengamal media dari AFP terkena serpihan kaca pecah di restoran itu yang kemudiannya terus mendapatkan rawatan.

Selain itu, sekumpulan penyokong Serbia diiringi keluar dari kawasan itu ke stesen kereta api bawah tanah oleh pihak polis.

Terdahulu, pihak keselamatan Jerman meletakkan anggota polis yang ramai di Gelsenkirchen sebagai persediaan jika berlakunya insiden tidak diingini antara penyokong England yang diketahui cukup agresif dan sering terbabit dalam pergaduhan.

Pada Euro 2016, penyokong England dan Russia bertembung menjelang perlawanan antara negara mereka di Marseille, Perancis yang menyaksikan pergaduhan samseng bola sepak.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Jun 2024 @ 7:18 AM