SESI terapi bersama ‘Ronald McDonald House Malaysia’ (RHMC).
SESI terapi bersama ‘Ronald McDonald House Malaysia’ (RHMC).
Suliati Asri dan Nor ‘Asyikin Mat Hayin

MENYINGKAP seribu satu kisah kehidupan Penghuni Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia, Semenyih, Selangor ini nyata memberikan pelbagai pengajaran paling bermakna.

Penghuni yang mahu dikenali sebagai Aminah Mujahidah, 68, mengakui meskipun diuji dugaan berat kehilangan tujuh anak, tetapi dia ini tetap tenang menerima takdir Allah SWT.

Kekuatan hatinya cukup luar biasa dan sentiasa berdamai dengan takdir setiap kali anaknya dijemput Ilahi ketika bayi.

"Anak-anak saya meninggal dunia pada usia tiga bulan, lima bulan, enam bulan, sembilan bulan dan tiga tahun.

"Meskipun peluang bersama anak-anaknya begitu singkat, tetapi saya bersyukur kerana masih diberikan kesempatan mendakap dan mencurahkan kasih sayang ketika mereka masih hidup.

"Saya reda kerana menyedari bahawa anak adalah pinjaman Allah SWT dan gembira kerana kami akan bertemu di syurga kelak. Ini menjadi kunci ketenangan hingga hari ini, " katanya yang turut berkongsi cerita suaminya meninggal dunia pada 1984 iaitu setahun selepas anak bongsunya meninggal dunia.

Aminah antara penghuni yang ditemu bual ketika program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) Bersama McDonald's Sempena Meraikan Hari Bapa di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia itu baru-baru ini.

SUKARELAWAN Mcdonald’s dan Harian Metro menyantuni penghuni Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia.
SUKARELAWAN Mcdonald’s dan Harian Metro menyantuni penghuni Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia.

Wanita itu menetap di pusat jagaan berkenaan sejak lapan tahun lalu atas kemahuannya sendiri kerana hidup sebatang kara selepas kehilangan insan tersayang.

"Tambahan pula, kaki kiri saya dipotong kerana kencing manis yang membataskan pergerakan dan sukar jika hidup sendirian.

"Saya menggunakan kerusi roda untuk bergerak dan di pusat jagaan ini ada penjaga serta rakan-rakan membantu jika memerlukan pertolongan," katanya.

Menurutnya, dia mahu menghabiskan sisa usia dan meninggal dunia di pusat jagaan itu.

"Jiwa saya tenang sepanjang menetap di sini dan apatah lagi aktiviti harian dipenuhi dengan mempelajari banyak ilmu agama.

"Seminggu lima kali ustazah datang mengajar penghuni pusat jagaan ini," katanya.

Aminah yang sebelum ini menetap di Kampung Baru, Kuala Lumpur berkata, dia aktif menyertai pertandingan mengaji al-Quran antara pusat jagaan warga emas di sekitar Lembah Klang.

"Ini satu lagi pengalaman menyeronokkan yang saya peroleh selain dapat meningkatkan mutu bacaan kalam Allah SWT.

"Pada waktu lapang saya suka membaca tafsir al-Quran, mentadabbur dan menghafal surah," katanya.

Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia yang beroperasi pada 2016 secara percuma dengan menempatkan penghuni termasuk warga emas, mualaf dan asnaf. Bantuan dan sumbangan orang ramai amat diharapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Jun 2024 @ 7:01 AM