WCESB sasar empat lagi seksyen Projek Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) akan beroperasi tahun depan.  FOTO Arkib NSTP
WCESB sasar empat lagi seksyen Projek Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) akan beroperasi tahun depan. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Ipoh: West Coast Expressway Sdn. Bhd (WCESB) mensasarkan empat lagi seksyen Projek Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) akan beroperasi suku pertama tahun depan.

Ketua Operasi Lebuh Raya WCE Syed Muhd Naguib Syed Mohd berkata ia membabitkan Seksyen SKVE, Banting, Assam Jawa dan Taiping Selatan.

Syed Muhd Naguib berkata bagi pembinaan Seksyen 11 iaitu dari Beruas ke Taiping Selatan yang membabitkan laluan 35.5 kilometer (km) setakat ini sudah siap 88 peratus.

"Pembinaan kini melibatkan elemen kejuruteraan, tol, kerja pembinaan cerun dan kerja mekanikal," katanya pada sidang media selepas sesi libat urus WCESB bersama media negeri Perak di sini hari ini.

Syed Muhd Naguib berkata oleh kerana laluan berkenaan yang turut melalui Hutan Simpan Bubu, WCE akan turut membina pembetung kekotak haiwan sebagai satu langkah untuk pemeliharaan alam sekitar dan ekosistem.

"Ini bagi membolehkan apa sahaja perhubungan di antara haiwan-haiwan ini dapat dikekalkan susulan daripada pembinaan lebuh raya di kawasan itu," katanya.

Beliau berkata, bagi jajaran Perak, WCE merancang untuk membina empat kawasan Rehat dan Rawat (R&R) iaitu R&R Teluk Intan (utara dan selatan); R&R Sungai Wangi (selatan); R&R Ayer Tawar (utara) dan R&R Sg Nyior (utara dan selatan).

Katanya jajaran itu juga akan menyediakan dua hab kemudahan mengecas kenderaan elektrik (EV) iaitu di Lekir dan Teluk Intan.

Sementara itu, Syed Muhd Naguib berkata jumlah kenderaan yang menggunakan WCE kini meningkat sehingga 30 peratus iaitu 50,000 hingga 60, 000 kenderaan sehari.

"Pada Aidilfitri baru-baru ini, aliran trafik mencapai jumlah tertinggi iaitu 100,000 kenderaan sehari dan 85,000 pada Aidiladha lalu," katanya.

Terdahulu, dilaporkan WCE bagi jajaran Selangor dan Perak dijangka siap secara sepenuhnya pada 2025.

Lebuh raya merentasi Selangor dan Perak sejauh 233km dibina di sepanjang pesisiran pantai barat Semenanjung di bina untuk kemudahan penduduk setempat dan pengguna lebuh raya ke utara.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Julai 2023 @ 5:27 PM