Kuala Lumpur: Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) berkata, pada Mei lalu, stok minyak sawit Malaysia meningkat 0.5 peratus kepada 1.75 juta tan meskipun pengeluaran meningkat 13 peratus.

Peningkatan kecil stok ini disebabkan permintaan mengatasi bekalaan.

"Pengeluaran minyak sawit Malaysia meningkat 203,000 tan pada Mei, manakala gabungan eksport dan penggunaan domestik meningkat 212,000 tan," kata MPOC dalam satu kenyataan.

Menurutnya, harga minyak sawit dijangka terus meningkat pada Jun kerana pertumbuhan pengeluaran di Malaysia dijangka perlahan pada separuh kedua 2024, manakala eksport semakin meningkat.

"Dari Januari hingga Mei 2024, Malaysia menunjukkan pengeluaran minyak sawit dan prestasi eksport baik, dengan peningkatan pengeluaran 9.0 peratus (626,000 tan) dan peningkatan eksport 7.0 peratus (393,000 tan).

"Sebaliknya, Indonesia menyaksikan penurunan pengeluaran minyak sawit mentah 647,000 tan (5.0 peratus) dari Januari hingga Mac 2024, menurut data dari GAPKI.

"Akibatnya, gabungan pengeluaran minyak sawit dari Malaysia dan Indonesia dianggarkan menurun setengah juta tan pada suku pertama 2024.

"Walaupun pertumbuhan pengeluaran Malaysia positif, gabungan peningkatan inventori minyak sawit bagi kedua-dua negara dijangka kecil," katanya.

MPOC berkata, harga minyak biji sesawi (rapeseed), bunga matahari dan kacang soya di pasaran Eropah meningkat masing-masing 6.0 peratus, 8.0 peratus dan 7.0 peratus, masing-masing pada Mei, manakala minyak sawit menurun 4.0 peratus.

"Lebihan harga minyak sayuran lain berbanding minyak sawit meningkat daripada AS$40 kepada AS$115, dan dijangka menyokong pemulihan berterusan eksport minyak sawit Malaysia.

"Anggaran awal pengeluaran minyak dari sumber bijian oleh USDA untuk tahun pemasaran 2024/25 meramalkan peningkatan 4.0 peratus dalam pengeluaran minyak dari sumber bijian global.

"Ini bermakna, stok minyak bijian global diramalkan meningkat 6.0 peratus, mencapai tahap tertinggi dalam satu dekad pada 2024/25, dan bekalan minyak bijian dijangka kekal mencukupi," katanya.

Menurut MPOC, harga minyak sawit diunjurkan mendapat sokongan pada RM3,900 pada Jun, kerana gabungan bekalan dari Malaysia dan Indonesia dijangka ketat pada akhir 2024, selari dengan peningkatan dalam eksport minyak sawit.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Jun 2024 @ 7:24 AM