Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang (dua dari kanan) turut menyertai acara makan Kacang Pool beramai-ramai yang dicatat dalam Malaysia Book of Records di Sambutan Minggu Perpaduan 2024 di Padang Angsana di sini, hari ini. FOTO OMAR AHMAD
Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang (dua dari kanan) turut menyertai acara makan Kacang Pool beramai-ramai yang dicatat dalam Malaysia Book of Records di Sambutan Minggu Perpaduan 2024 di Padang Angsana di sini, hari ini. FOTO OMAR AHMAD
Oleh Omar Ahmad


Johor Bahru: Kementerian Perpaduan Negara (KPN) menerima Anugerah Sijil Malaysia Book of Records (MBOR) bagi penyertaan makan kacang pool paling ramai di Sambutan Minggu Perpaduan 2024 Peringkat Kebangsaan di Padang Angsana di sini, hari ini.

Seramai 2,400 orang peserta menyertai cabaran dengan memakan kacang pool secara serentak, sekali gus mencipta detik perpaduan.

Turut serta Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang; Ketua Setiausaha KPN, Datuk Azman Mohd Yusof; Timbalan Ketua Setiausaha KPN, Mohamad Sobri Mat Daud dan Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Datuk Che Roslan Che Daud.

Sijil Pengiktirafan disampaikan Pegawai MBOR, Siti Hajar Johor dan Lee Pooi Leng kepada Aaron.

Menurut Aaron, cabaran bukan sekadar untuk mendapatkan pengiktirafan MBOR malah jelas membuktikan keakraban, keharmonian dan jalinan perpaduan yang sangat utuh dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, bangsa dan agama.

"Cabaran ini menerima penyertaan daripada pelbagai pihak termasuk pelajar sekolah, mahasiswa, komuniti Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan orang awam.

"Kacang pool dipilih sebagai menu utama cabaran MBOR kerana makanan ini adalah salah satu hidangan yang terkenal di Johor.

"Makanan menyatukan kita di Malaysia. Kita lihat rakyat pelbagai kaum hari ini duduk bersama makan kacang pool, tiada beza dan tiada sempadan. Itu yang kita mahukan," katanya ketika ditemui di SMP 2024 di Padang Angsana di sini, hari ini.

Pelbagai acara berunsurkan perpaduan disediakan sepanjang empat hari penganjuran SMP 2024 yang julung kalinya dibuat di Semenanjung Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mei 2024 @ 2:48 PM