Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika hadir bagi  Merasmikan Sambutan Minggu Perpaduan 2024 Peringkat Kebangsaan di Angsana Johor Bahru Mall hari ini. FOTO BERNAMA
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika hadir bagi Merasmikan Sambutan Minggu Perpaduan 2024 Peringkat Kebangsaan di Angsana Johor Bahru Mall hari ini. FOTO BERNAMA
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Kewujudan sistem persekolahan aliran Cina dan Tamil di negara ini perlu dihormati dan diberi ruang, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, ia kerana sistem persekolahan vernakular itu sudah diwarisi negara sejak sekian lama.

"Kita warisi satu sistem di mana ada Sekolah Kebangsaan (SK) untuk pelbagai kaum tetapi ada juga sekolah aliran Cina serta sekolah aliran Tamil.

"Ia kerana ada kawasan (penempatan) Melayu sehingga 100 peratus, ada juga kawasan majoriti Cina dan India. Itu satu kenyataan (sekolah vernakular) yang tak semestinya kita ubah.

"Peranan kita adalah untuk memberikan ruang kepada mereka. Kenal dan hormat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Minggu Perpaduan 2024 Peringkat Kebangsaan, di sini, malam ini.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang; dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, perbezaan kaum, warna kulit dan bahasa itu juga diiktiraf al-Quran.

"Sebab itu saya kata kita tak boleh lari dari gesaan dan anjuran al-Quran.

"Kita lahir dari kaum berbeza, kabilah berbeza. Wilayah dan negeri berbeza, begitu juga warna kulit dan bahasa berbeza. Al-quran menyebut perbezaan itu perlu diiktiraf untuk kita saling mengenali dan menghormati," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2024 @ 11:25 PM