JUDE Bellingham meraikan jaringannya. FOTO AFP
JUDE Bellingham meraikan jaringannya. FOTO AFP
AFP

Gelsenkirchen, Jerman: Jude Bellingham memastikan England memulakan kempen Euro 2024 dengan kemenangan 1-0 ke atas Serbia namun kejayaan mengutip tiga mata berharga itu menimbulkan keraguan tentang usaha Three Lions untuk bergelar juara Eropah buat kali pertama.

Bellingham berada dalam kelas tersendiri di Gelsenkirchen apabila tandukan pemain tengah Real Madrid itu pada minit ke-13 sudah cukup memastikan pasukannya keluar selaku pemenang.

Bagaimanapun berdasarkan corak permainan ditampilkan England, pasukan itu dilihat jauh menyamai piawaian yang ditunjukkan Jerman dan Sepanyol dalam aksi pembukaan.

Dengan menurunkan skuad terkuat, skuad kendalian Gareth Southgate menguasai permainan namun bergelut untuk mengubah dominasi mereka kepada peluang menjaringkan lebih banyak gol.

Serbia yang kerap bertahan dan menamatkan separuh masa pertama tanpa percubaan tepat di Arena AufSchalke bagaimanapun beraksi lebih baik pada babak kedua walaupun tidak banyak mencipta peluang menghasilkan jaringan.

Penjaga gol Serbia, Predrag Rajkovic bertindak cemerlang untuk menyelamakan gawang pasukannya daripada dibolosi kali kedua apabila menghalang tandukan jarak dekat Harry Kane pada minit ke-77.

"Saya rasa dalam setiap perlawanan saya mampu memberi impak kepada pasukan. Saya sentiasa ingin menyumbang dan menghadiahkan keputusan positif," kata Bellingham.

"Ia satu nikmat apabila dapat bermain bola sepak dan membantu pasukan kerana permainan paling saya minati di dunia.

"Jadi saya tidak merasakan sebarang tekanan setiap kali saya diturunkan, malah saya cukup bermotivasi untuk membantu pasukan," katanya.

Dengan kemenangan itu, England kini memimpin carta Kumpulan C selepas satu lagi aksi menyaksikan Denmark dan Slovenia terikat 1-1.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Jun 2024 @ 6:38 AM