SUKARELAWAN Tune Protect bersama Nourish Malaysia meraikan majlis pelancaran program memfokuskan digital dan sukan.
SUKARELAWAN Tune Protect bersama Nourish Malaysia meraikan majlis pelancaran program memfokuskan digital dan sukan.

DALAM era kemajuan teknologi yang pesat, usaha merapatkan jurang digital untuk pelajar sememangnya penting.

Bagi menangani cabaran ini, Tune Protect Group Berhad (Tune Protect atau Kumpulan Tune Protect) menjalin kerjasama dengan Nourish Malaysia (Nourish) sebuah organisasi tidak berasaskan keuntungan untuk memberi sokongan kepada pelajar kurang berkemampuan menerusi institusi pendidikan dengan memperkenalkan inisiatif yang memberi tumpuan kepada bidang sukan dan digital di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Baru Si Rusa, Port Dickson, Negeri Sembilan.

Inisiatif ini adalah sebahagian daripada Program Corporate Good (CG) Kumpulan Tune Protect. Sejak Oktober tahun lalu, pelbagai rancangan dirangka untuk menyalurkan sumbangan seperti komputer riba dan komputer peribadi, menyediakan peralatan sukan seperti petak lompat jauh, memperbaharui pusat sumber digital dan lain-lain.

Menerusi dua acara tanggungjawab sosial korporat dan aktiviti sukarelawan yang dikendalikan pada 18 Mei dan 25 Mei lalu, seramai 80 sukarelawan daripada Tune Protect meluangkan masa bersama guru dan pelajar sekolah berkenaan dengan sokongan Nourish Malaysia.

Menurut Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Tune Protect, How Kim Lian, sebagai syarikat insurans digital tempatan, pihaknya bukan sahaja menyediakan akses kepada perlindungan yang lebih mudah, tetapi juga memanfaatkan teknologi untuk membantu rakyat Malaysia.

"Terutamanya golongan yang kurang bernasib baik supaya menjadi celik digital. Inisiatif ini bertujuan melahirkan generasi yang mempunyai kemahiran digital dan memberi dorongan kepada atlet masa hadapan yang berkemampuan bersaing di peringkat lebih tinggi.

"Ini mengukuhkan lagi aspirasi Tune Protect untuk menjadi syarikat insurans gaya hidup, oleh yang demikian kami memberi tumpuan yang lebih mendalam kepada pembangunan kemahiran dan sukan," katanya.

Program CG ini mempamerkan dedikasi Tune Protect bagi memberi sokongan secara aktif kepada masyarakat. Inisiatif ini menekankan komitmen Tune Protect dalam menyalurkan bantuan kepada golongan terabai dan kurang berkemampuan serta membabitkan diri serta melabur dalam komuniti setempat menerusi pelbagai program CG dan aktiviti yang lain.

Lebih 65 peratus daripada 799 pelajar SK Kampung Baru Si Rusa adalah daripada golongan B40.

Kata How lagi, pihaknya berbesar hati untuk mengumumkan bahawa Tune Protect bukan sahaja memenuhi, tetapi sudah menjangkaui komitmen CGnya dengan mencapai 6,954 jam kerja sukarelawan sejak 2022 hingga kini.

Ia melebihi daripada sasaran awal sebanyak 6,000 jam untuk tempoh 2022 hingga tahun ini. Pencapaian ini memperlihatkan kesungguhan pihaknya yang berterusan dalam memberikan impak positif kepada komuniti.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Jun 2024 @ 6:31 AM