Muhammad Najmir Razaman

SAMBUTAN Minggu Perpaduan (SMP) yang akan disambut setiap tahun di seluruh Malaysia adalah sebahagian daripada program-program anjuran Kementerian Perpaduan Negara (KPN).

Terbahagi kepada tiga kluster utama iaitu Semarak Kenegaraan, Semarak Perpaduan dan Program Komuniti RAHMAH,  program Sambutan Minggu Perpaduan 2023 yang pertama kali dianjurkan ini dikategorikan sebagai salah satu inisiatif kluster Semarak Perpaduan.

Objektif utama penganjuran program ini adalah untuk menyemarakkan semangat perpaduan serta menyebar pengetahuan, kefahaman dan penghayatan terhadap kepelbagaian adat dan budaya dalam masyarakat Malaysia.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Zulkifl Hashim, SMP ialah usaha penyatupaduan masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan budaya, serta meraikan kepelbagaian. 

"Sambutan Minggu Perpaduan 2023 yang bertemakan 'Perpaduan Dalam Kepelbagaian' ini akan diadakan di seluruh negara mulai 20 hingga 28 Mei 2023 di 16 lokasi berbeza."

Bagi sambutan peringkat kebangsaan pula akan berlangsung bermula 20 hingga 26 Mei 2023 di Kuching Waterfront dan majlis perasmian akan disempurnakan oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong pada 21 Mei nanti," katanya kepada BERNAMA.

Mengulas lanjut mengenai SMP, Setiausaha Bahagian, Bahagian Dasar dan Hubungan Antarabangsa, Mohamad Sobri Mat Daud berkata, sambutan yang melibatkan pelaksanaan peringkat nasional dan negeri ini menerima kerjasama dan penyertaan daripada pelbagai agensi kerajaan, Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) dan pihak swasta.

"Sambutan di peringkat Kebangsaan contohnya disertai oleh Kerajaan Negeri Sarawak, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Komunikasi dan Digital, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup serta pelbagai agensi awam, swasta dan NGO yang turut sama menghadiri acara ini," katanya.

Menurutnya, pelbagai aktiviti menarik juga akan dianjurkan seperti UNITI Run/Ride, jualan RAHMAH, jualan produk usahawan, pameran rumah etnik, pameran agensi kerajaan serta persembahan kebudayaan.

Selain itu, penganjuran SMP di 15 negeri lain turut menerima penyertaan daripada pelbagai agensi kerajaan, NGO dan pihak swasta dengan penganjuran pelbagai aktiviti menarik yang dapat memupuk keharmonian masyarakat.

Menariknya, Kementerian Perpaduan Negara juga akan cuba mencipta satu rekod baharu melalui Malaysia Book of Record (MBOR) untuk kategori Pemakaian Baju Etnik Terbanyak dalam Satu Majlis dan Pameran Budaya Etnik Terbanyak dalam Satu Majlis.

Dalam pada itu, Kembara Perpaduan Malaysia MADANI yang dilancarkan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Gong pada 1 Mac 2023 adalah inisiatif berimpak tinggi yang dilaksanakan oleh KPN dalam usaha menyatupadukan rakyat berbilang kaum di Malaysia.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Gong ketika sidang media Majlis Amanat bersama warga KPN.- FOTO Kementerian Perpaduan Negara

Menurut Datuk Aaron, pelaksanaan program di bawah Kembara Perpaduan Malaysia MADANI akan menggunakan 'whole of government approach' yang mana ia adalah kerjasama antara agensi kerajaan merentasi sempadan portfolio dalam meneraju agenda perpaduan negara yang selari dengan pembangunan Malaysia MADANI.

Pelbagai program lain sudah dirangka dan akan terus dilaksanakan oleh Kementerian dalam memartabatkan perpaduan di segenap lapisan masyarakat.

KPN berharap agar rakyat Malaysia dapat bersama-sama mencipta sekali gus mengekalkan keharmonian dan kesejahteraan yang ada dalam kalangan masyarakat.

Untuk maklumat lanjut penganjuran SMP 2023, layari Facebook Kementerian Perpaduan Negara sekarang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Mei 2023 @ 1:07 PM