Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra dan bersalaman dengan penghuni rumah-rumah perpaduan di Malaysia pada Perasmian Sambutan Minggu Perpaduan 2024 Peringkat Kebangsaan di Angsana Johor Bahru Mall hari ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra dan bersalaman dengan penghuni rumah-rumah perpaduan di Malaysia pada Perasmian Sambutan Minggu Perpaduan 2024 Peringkat Kebangsaan di Angsana Johor Bahru Mall hari ini.
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Usaha menyemai benih semangat perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum perlu bermula di sekolah rendah, kata Perdana Menteri.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia amat penting bagi melahirkan generasi berbilang kaum yang kukuh, bersatu padu dan saling menghormati.

Katanya, aktiviti perpaduan seharusnya menyentuh segenap lapisan masyarakat termasuk di luar bandar sejak dari bangku sekolah lagi.

Sehubungan itu, beliau berkata, langkah Kementerian Perpaduan Negara untuk memperkasakan Rukun Tetangga (RT) perlu dipuji kerana mampu menjadi jentera menyebar roh perpaduan yang boleh menjadi kunci kekuatan sesebuah negara.

"Kementerian Perpaduan Negara mesti beri penekanan dan menjelajah ke seluruh negara, tidak hanya di kota besar sahaja, mesti ada kegiatan menerobos dari Rukun Tetangga ke peringkat akar umbi dan sekolah-sekolah.

"Dalam Mesyuarat Jemaah Menteri, saya telah tekankan kepada Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, bahawa program perpaduan itu mesti menerobos sehingga ke peringkat akar umbi supaya rakyat dari peringkat sekolah ditanam semangat perpaduan.

"Aaron memahami peranan sebenar kementerian dalam usaha menerapkan semangat cintakan negara dan saling menghormati antara kepelbagaian kaum di negara ini.

"Sebelum ini, orang fikir Kementerian Perpaduan Negara hanya sekadar berkisar budaya, nyanyian dan tarian, pertunjukan dan pesta semata-mata. Terima kasih kepada Datuk Aaron dan seluruh keluarga Perpaduan kerana faham tugas lebih besar daripada itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Minggu Perpaduan 2024 Peringkat Kebangsaan, di sini, malam ini.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang; dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Berkongsi mengenai lawatan ke Qatar, Republik Kyrgyz, Kazakhstan, Uzbekistan dan Jepun baru-baru ini, Perdana Menteri berkata negara luar begitu menghormati dan memuliakan negara ini.

Katanya, negara luar memuliakan Malaysia bukan semata-mata kerana ekonomi yang melonjak naik namun ia disebabkan kestabilan politik serta rakyatnya yang hidup saling bersatu padu.

Sementara itu, Anwar mencadangkan Kementerian Perpaduan Negara menggantikan penggunaan perkataan toleransi dengan perpaduan ke arah kasih sayang dan hormat menghormati sesama insan.

Katanya, ia bagi menggambarkan masyarakat majmuk sesuai dengan pendekatan Gagasan Malaysia Madani.

"Saya tidak mahu Kementerian Perpaduan sebut toleransi, tetapi saya mahu kementerian sebut perpaduan ke arah kasih sayang, hormat menghormati sesama insan, ini lagi kuat daripada perkataan toleransi.

"Dalam Malaysia Madani bukan ditekankan kemampanan harus kita angkat martabat negara, ekonomi yang melonjak, tetapi kita harus menggapai dan meneroka alam pemikiran dan rekaan baharu," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2024 @ 12:09 AM