Sultan Ibrahim berkenan bergambar bersama warga kerja Kementerian Perpaduan semasa majlis Sulaman Kasih di Aidilfitri Kementerian Perpaduan hari ini. FOTO BERNAMA
Sultan Ibrahim berkenan bergambar bersama warga kerja Kementerian Perpaduan semasa majlis Sulaman Kasih di Aidilfitri Kementerian Perpaduan hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Putrajaya: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini berkenan memeriahkan Majlis Sulaman Kasih Aidilfitri Kementerian Perpaduan Negara (KPN), di sini.

KPN dalam kenyataan memaklumkan majlis bertemakan "Perpaduan Melalui Perayaan" itu diadakan sebagai platform warga KPN, jabatan dan agensi berkumpul dengan semangat perpaduan dalam suasana harmoni bagi meraikan perayaan Aidilfitri.

Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang selaku tuan rumah, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, Menteri Kewangan II Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Menurut kenyataan itu, kehadiran Sultan Ibrahim dan pemimpin tertinggi negara ini adalah sebagai tanda sokongan padu terhadap KPN dalam usahanya memartabatkan agenda perpaduan di negara ini serta kesungguhan kerajaan dalam memupuk semangat perpaduan dan kesepaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum dan agama.

Pada majlis bermula jam 12 tengah hari hingga 2.30 petang itu, Sultan Ibrahim dan Perdana Menteri meluangkan masa kira-kira satu jam bagi menikmati hidangan selain beramah mesra dengan tetamu yang hadir.

Pelbagai juadah raya dihidangkan antaranya lemang, rendang, lontong, rojak pasembur, putu mayam, roti jala dan aneka kuih-muih.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2024 @ 4:37 PM