GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Kebelakangan ini, perbalahan antara kaum dilihat mula mengisi hantaran di media sosial dan ia semakin buruk dengan ada pihak sengaja membangkitkan isu 3R.

Ia menyebabkan keharmonian dan muhibah yang terjalin sejak pembentukan Malaysia lebih 61 tahun lalu mula terhakis sehingga menimbulkan ketegangan dalam kalangan rakyat.

Ramai yang beranggapan isu perlu diberi perhatian oleh Kementerian Perpaduan Negara (KPN) menerusi inisiatif dan hala tuju kerajaan.

Penolong Pengarang Berita, YUSMIZAL DOLAH ALING mendapatkan Ketua Setiausaha KPN, DATUK AZMAN MOHD YUSOF untuk berkongsi pandangan dan resipi perpaduan dalam Kafe Ahad minggu ini.


Bagaimana Datuk melihat isu perpaduan di negara ini setakat ini?

Isu perpaduan di Malaysia dilihat sebagai proses berterusan dan kompleks kerana negara ini ada kepelbagaian etnik, budaya, dan agama yang unik. Menggabungkan kepelbagaian ini bukan tugas mudah, memerlukan usaha berterusan dan komitmen yang teguh semua pihak. Proses ini juga membabitkan penyesuaian, penghargaan, dan pengiktirafan terhadap keunikan dan keperluan setiap kumpulan masyarakat.

Isu perpaduan setakat ini masih terkawal. Ini kerana kerajaan sentiasa memantau isu-isu dan cabaran berkaitan perpaduan yang boleh mencetuskan ketegangan dan menggugat keharmonian masyarakat melalui sistem e-SEPAKAT yang dibangunkan sejak 2010.

Hasil laporan sistem e-SEPAKAT, KPN mengambil langkah intervensi sosial berdasarkan isu atau insiden seperti melaksanakan program dialog dan perbincangan kefahaman antara agama.

Selain itu, dilaksanakan juga sesi mediasi oleh Mediator Komuniti. Sehingga kini, ada 564 Mediator Komuniti bertauliah di bawah KPN yang merangkumi 163 Pegawai Perpaduan, 379 AJK KRT
dan 22 NGO.


Pada pandangan Datuk, apakah masalah utama yang menghalang perpaduan antara kaum di Malaysia? Boleh berikan contoh.

Sistem politik negara kita pada masa ini terbentuk hasil daripada Dasar Pecah dan Perintah diamalkan sejak zaman penjajahan British di Tanah Melayu. Dasar ini membahagikan kaum mengikut fungsi dan peranan mereka dalam pembangunan ekonomi, tempat tinggal dan sistem pendidikan yang berbeza. Implikasi dari dasar itu mempengaruhi corak kegiatan berpolitik setiap kaum selepas kemerdekaan.

Masalah utama kurangnya pemahaman dan toleransi antara kaum menyebabkan prasangka dan konflik. Ini berlaku apabila individu atau kumpulan tidak memahami keperluan, budaya, atau pandangan hidup yang berbeza dari kaum lain, dan akhirnya menimbulkan konflik.

Hal inilah yang KPN cuba terapkan konsep FAHAM, HORMAT dan TERIMA. Contohnya, stereotaip negatif terhadap kaum lain menular dalam budaya masyarakat boleh menyebabkan diskriminasi. Misalnya, anggapan satu kaum kurang cekap dalam sesuatu bidang atau anggapan satu etnik lebih suka bekerja keras berbanding lain. Stereotaip ini mempengaruhi cara individu dan masyarakat dalam memberi peluang dan menghargai keupayaan individu dari semua kaum.

Ketidakseimbangan dalam peluang pendidikan dan pekerjaan serta akses terhadap perkhidmatan awam menjadi contoh masalah utama yang menghalang perpaduan. Keadaan di mana satu kaum mendapat peluang lebih besar dalam bidang pendidikan dan pekerjaan berbanding kaum lain menyebabkan ketidakadilan yang jelas. Ini mungkin disebabkan faktor seperti diskriminasi dalam proses penerimaan atau pemilihan, serta kurangnya sokongan untuk membantu kaum yang kurang beruntung. Ketidakseimbangan ini membawa kepada perasaan ketidakpuasan dan ketidakadilan dalam kalangan masyarakat,

Kurangnya perwakilan kaum minoriti dalam kerajaan dan institusi penting juga menjadi faktor memudaratkan perpaduan. Apabila kaum minoriti tiada wakil di peringkat penting dalam kerajaan atau institusi lain, suara dan keperluan mereka mungkin kurang dipertimbangkan.

Berdasarkan laporan Sistem e-SEPAKAT, masalah perpaduan semakin meningkat apabila tiba musim pilihan raya. Perbalahan pemimpin politik menjadi ancaman perpaduan kaum. Suara lantang pemimpin politik mempertahankan ideologi dan kepentingan masing-masing, secara langsung menggugat keharmonian masyarakat.


Masih ada yang ingin menjadikan isu perkauman sebagai 'modal' kaum selepas lebih 60 tahun merdeka. Pandangan Datuk?

Kepelbagaian dalam masyarakat di negara ini menjadi satu keunikan. Dalam masa sama kepelbagaian ini menjadi cabaran untuk diuruskan. Selagi ada perbezaan, sama ada dari segi agama, bahasa, adat dan budaya, selagi itu ada cabaran perlu ditangani.

Cabaran mengurus perpaduan masyarakat di negara bukan perkara baharu. Sejak peristiwa 13 Mei 1969, kerajaan mencari formula secara berterusan yang menyumbang kepada kesepaduan sosial, membentuk kestabilan politik dan hubungan etnik yang harmoni dan bersatu padu.


Sentimen bangsa dan agama menjadi faktor rapuhnya perpaduan. Selain Pelan Tindakan Perpaduan Negara 2021, apakah usaha lain yang dijalankan?

Seiring hasrat Perdana Menteri untuk membangun Malaysia Madani, KPN menghasilkan Kerangka Membangun Malaysia Madani melalui Perpaduan Dalam Kepelbagaian menyepadukan program melalui Flagship Kembara Perpaduan.

Sehingga 2023, sebanyak 661 program dilaksana melalui Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional, Muzium, Arkib, Perpustakaan, Yayasan Sukarelawan Siswa, Yayasan Tunku Abdul Rahman dan Yayasan Tun Razak.

Ia di bawah tiga kluster utama iaitu semarak kenegaraan, semarak perpaduan dan komuniti Rahmah merangkumi antaranya Eksplorasi Rukun Negara, Citra Nusa @ Muzium, Bicara Negarawan, Sambutan Minggu Perpaduan, Ini Warisan Kita, Wacana Perpaduan Defisit Sosial, Jalinan Integrasi Mahasiswa, Liga Sukan Uniti, Kempen Cakap Baik-Baik dan Komuniti Rahmah.

Dengan penambahan peruntukan melalui Bajet 2024, KPN akan melipatgandakan usaha melaksana pelbagai strategi melahirkan bangsa patriotik dalam mengukuhkan tapak integrasi nasional dan ekosistem perpaduan negara.

Antara inisiatif baharu dirancang kementerian termasuk pemerkasaan Model Kawasan Rukun Tetangga (KRT) yang akan berperanan sebagai penggerak utama dan penjalin hubung (bridge builder) bagi merealisasikan aspirasi masyarakat progresif, sambutan Minggu Perpaduan dan Harmoni Madani, inisiatif baru ini akan dijalankan bagi memupuk semangat penerimaan dan budaya hormat menghormati dalam kalangan rakyat Malaysia.


Nasihat Datuk kepada rakyat Malaysia berhubung isu perpaduan ini?

Memupuk semangat saling hormat-menghormati dan kesedaran terhadap kepelbagaian adalah asas perpaduan kukuh kerana ia membina landasan untuk saling memahami dan menghargai antara individu dari latar belakang budaya, etnik, dan agama yang berbeza sambil menghargai keunikan setiap individu dalam masyarakat. Melaluinya, kita dapat cipta persekitaran yang menyokong perpaduan yang sejati.

Mengutamakan kepentingan bersama untuk masyarakat dan negara penting dalam mengekalkan perpaduan negara.

Saya ingin tegaskan kita tidak akan berkompromi kepada mana-mana pihak mencetuskan polemik perkauman dan sensitiviti agama yang mengganggu keharmonian .

Dalam soal ini, kita perlu hormati dan mendukung Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara sebagai ramuan perpaduan negara. Rukun Negara prinsip asas yang sepatutnya menjadi panduan bagi pembinaan serta pemeliharaan keharmonian.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 April 2024 @ 7:30 AM