Aaron Ago Dagang
Aaron Ago Dagang
Suraya Ali


Kuala Lumpur: Kes membabitkan isu agama, kaum dan institusi raja (3R) meningkat sebanyak 123 peratus bagi tempoh suku pertama tahun ini, berbanding tempoh sama pada tahun lalu, kata Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang.

Beliau berkata, sebanyak 47 isu perpaduan berkaitan 3R direkodkan tahun ini, berbanding 21 isu bagi tempoh sama pada tahun lalu.

Katanya, perkara itu direkodkan menerusi pusat pengumpulan data utama bagi pengurusan isu perpaduan sebagai mekanisme gerak kerja pengesanan, pemantauan dan pelaporan isu terbabit secara digital melalui sistem e-Sepakat.

"e-Sepakat adalah antara mekanisme pengurusan isu perpaduan yang sedang dilaksanakan oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) yang digunakan untuk pengesanan dan pemantauan isu perpaduan di peringkat akar umbi.

"Statistik laporan isu pergaduhan kaum yang direkodkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga merekodkan sebanyak 162 kes di seluruh negara dengan kes tertinggi di Johor sebanyak 53 kes, Selangor (34 kes) dan Pulau Pinang (23 kes)," katanya dalam satu kenyataan.

Aaron Ago berkata, sebanyak 1,454 kandungan berkaitan 3R diturunkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) daripada platform media sosial sejak Januari hingga 31 Mac lalu, yang mengandungi ucapan kebencian kaum (588 kes), ucapan kebencian agama (727) dan ucapan kebencian institusi diraja (139).

"Sebagai sebuah negara yang memiliki kepelbagaian latar belakang, sikap hormat-menghormati dan tolak ansur perlu berada pada tahap yang tinggi.

"Sikap ini perlu dihayati oleh setiap lapisan masyarakat di setiap peringkat, pemahaman adalah kunci pada suatu penerimaan yang akan menepis segala kegusaran terbabit," katanya.

Beliau berkata, ruang untuk saling menerima dan bertoleransi akan terbuka lebih luas serta jurang perbezaan antara kaum dapat dikurangkan apabila rakyat saling memahami.

"Keharmonian perlu dipelihara, dipupuk dan diterapkan dalam diri bermula daripada diri sendiri dan kemudian diwariskan kepada generasi seterusnya" katanya.

Beliau berkata, Kementerian Perpaduan Negara (KPN) bukanlah sebuah agensi penguatkuasaan, tetapi sebaliknya antara agensi sokongan yang sentiasa membantu pihak berkuasa seperti PDRM, SKMM serta Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam pengurusan isu perpaduan.

"Kadang-kala masyarakat awam tidak mengetahui mengenainya dan beranggapan KPN boleh mengambil tindakan terhadap isu-isu perpaduan, khususnya isu 3R yang melanda negara kita," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 April 2024 @ 6:16 PM