TANGKAP layar video tular susulan hantaran di muat naik Muhamad Akmal di media sosial. FOTO media sosial
TANGKAP layar video tular susulan hantaran di muat naik Muhamad Akmal di media sosial. FOTO media sosial
Mahani Ishak


Kuala Lumpur: Dalam hanya 24 jam, masalah ketiadaan kerusi meja untuk kegunaan 34 murid di Sekolah Rendah Agama (SRA) Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) Ayer Merbau, dekat Melaka di sini, selesai apabila mereka menerima kelengkapan asas pembelajaran itu hari ini.

Bantuan kerusi meja dan meja itu disampaikan sendiri Exco Melaka, Dr Muhamad Akmal Saleh selepas beliau mengadakan lawatan mengejut ke sekolah berkenaan semalam, sebaik menerima maklumat daripada ibu bapa murid mengenai perkara terbabit.

Dalam video yang dimuat naik di Facebook Muhamad Akmal, beliau dilihat membantu sekumpulan murid kelas itu menyusun 36 set meja kerusi berwarna biru untuk pembelajaran.

Sebelum ini 34 murid itu terpaksa duduk bersila di atas lantai dan menggunakan rehal yang biasa digunakan untuk membaca al-Quran sebagai meja.

"Ini hadiah Hari Guru. Belajar rajin-rajin sayang.

"Kita beri dua beri set tambahan kerusi meja ini," kata Muhamad Akmal sambil dilihat mesra menepuk bahu beberapa murid dalam kelas berkenaan.

Dalam catatan Facebooknya, beliau menyatakan masalah ketiadaan kelengkapan asas bilik darjah sepatutnya diselesaikan segera tanpa berdepan kerenah birokrasi.

"Alhamdulillah meja dan kerusi anak-anak selesai dalam 24 jam.

"Tidak perlu tunggu (hingga) lapan bulan melayan birokrasi yang melampau. Moga anak-anak kita ini dapat belajar dalam keadaan yang lebih selesa," katanya pada keterangan video berdurasi dua minit 33 saat itu yang dimuat naik di Facebooknya, hari ini.

Dalam pada itu, beliau menyatakan kepada ustazah dipercayai guru kelas supaya menempatkan set kerusi meja yang dihantar Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) selepas ini ke kelas yang lain.

Semalam, Jaim memaklumkan pihaknya akan menyelesaikan masalah ketiadaan kerusi dan meja di sekolah berkenaan dalam tempoh terdekat.

Jaminan itu diberikan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman.

Masalah ketiadaan kerusi dan meja itu tular selepas Muhamad Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau, memuat naik video lawatannya ke sekolah itu, semalam.

Muhamad Akmal yang juga Ketua Pemuda Umno mendakwa, seramai 34 murid SRA Jaim Ayer Merbau, terpaksa duduk di atas lantai ketika belajar susulan kelewatan pihak pengurusan Bahagian Pendidikan Jaim menyelesaikan masalah terbabit yang berlarutan sehingga lima bulan.

Difahamkan murid di sekolah itu terpaksa belajar di atas lantai sejak sekolah mula dibuka awal Januari lalu.

Dalam hantaran video berasingan semalam, Muhamad Akmal berkata, keadaan dilalui murid kelas itu sesuatu yang tidak boleh diterima.

"Tidak boleh saya terima apabila anak kita terpaksa belajar di lantai akibat tiada meja dan kerusi.

"Bila mana proses birokrasi menyusahkan rakyat inilah akibatnya," katanya dalam catatan Facebook semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mei 2024 @ 11:18 PM