HANNAH kembali hasil lagu single selepas tiga tahun.
HANNAH kembali hasil lagu single selepas tiga tahun.
Ramlah Zainal


KALI terakhir, penyanyi dan pelakon jelita, Hannah Delisha menyanyikan lagu single adalah pada tahun 2021 menerusi lagu berjudul Terlalu Mudah.

Hannah atau nama sebenarnya, Hannah Adlina Blackburne Birch, 28, kembali bergelar artis rakaman dengan bernaung di bawah pengurusan label Faithful Music.

Sebelum ini, Hannah bernaung di bawah Prodigy Syndrome Management dan meninggalkan syarikat pengurusan berkenaan pada Ogos tahun lalu.

Justeru selepas tiga tahun dan sebagai buah tangan pertamanya bersama label Faithful Music, artis kelahiran Singapura ini mempertaruhkan lagu Akan Tiba hasil ciptaan sepenuhnya komposer dan penyanyi Faizal Tahir, Ja'a, Romeo serta Eugene Lai.

Secara peribadi, Hannah mengakui ia adalah sebuah lagu motivasi memaparkan mesej harapan dan daya tahan diri kuat.

Apatah lagi, dia dan suami, pelakon Imam Shah baru sahaja diuji dengan mengalami keguguran apabila kehilangan bayi dalam kandungannya yang sudah mencecah usia 13 minggu pada 17 Mac lalu.

Kata Hannah, dia juga menyalurkan emosi hatinya ke dalam lirik lagu itu.

"Lagu ini menggalakkan pendengar untuk bergerak ke hadapan, meninggalkan kesedihan lalu di belakang dan percaya bahawa hari yang lebih cerah akan datang jua.

"Akan Tiba bukan hanya sekadar lagu biasa sebaliknya lebih dari itu. Ia lagu motivasi yang menyampaikan pesan dan inspirasi mengenai harapan serta kekuatan untuk menghadapi cabaran dengan penuh semangat.

"Dengan ritma yang membangkitkan semangat dan lirik yang memancarkan aura positif, lagu ini mampu meningkatkan keyakinan dalam diri pendengarnya," katanya.

Kata Hannah lagi, lagu itu juga akan membawa pendengar merasakan kehangatan dan harapan yang mampu menyinari kegelapan.

"Dengan erti kata lain, lagu ini adalah sumber inspirasi yang mampu meningkatkan fokus dan membangkitkan semangat juang untuk tetap melangkah maju demi meraih impian," katanya.

Lebih bermakna, kata Hannah, lagu ini juga ditujukan khas buat peminat setia yang menyokong karier nyanyiannya sejak dulu.

"Ia sekali gus mewakili semangat pantang menyerah dan keyakinan atas datangnya waktu yang lebih baik dalam hidup setiap individu.

"Semoga lagu terbaharu ini mampu diterima dengan baik oleh peminat serta membawa sentuhan yang segar serta berbeza dalam landskap muzik di Malaysia," katanya.

Sementara itu, elemen kreatif yang digabungkan dalam lagu ini pastinya membuktikan Hannah adalah artis serba boleh yang mampu mencipta impak dalam industri muzik tempatan.

Proses mastering Akan Tiba mendapat sentuhan Dimas Pradipta dan ia berlangsung di Sum it! Studio Jakarta, Indonesia.

Lagu Akan Tiba juga boleh distrim melalui semua platform muzik digital dan video muzik boleh ditonton di saluran YouTube Faithful Music.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2024 @ 6:45 AM