Rahmad Mariman
Rahmad Mariman
BERNAMA

Melaka: Melaka memohon Kerajaan Persekutuan meluluskan permohonan pembinaan 28 sekolah rendah agama (SRA) Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) baharu di negeri itu bagi menampung bilangan murid yang bertambah saban tahun.

EXCO Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, terdapat 32 SRA di negeri itu yang terpaksa menggunakan bangunan guna sama sekolah kebangsaan berikutan tidak mempunyai bangunan sendiri.

"Kesemua permohonan itu dibuat kepada Kerajaan Persekutuan di bawah Rancangan Malaysia ke-12 dan kita berharap kerajaan dapat menyegerakan kelulusan itu untuk memastikan semua murid di kawasan terbabit mendapat kemudahan pembelajaran.

"Permohonan ini juga dibuat untuk menampung keperluan dan kapasiti murid yang semakin bertambah, namun kita akan melihat kepada keperluan yang mendesak supaya ia diberi keutamaan," katanya kepada media, di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau menyempurnakan Majlis Anugerah Kecemerlangan Ujian Penilaian Kelas al-Quran dan Fardu Ain (UPKK), Syahadah Ibtidaiah Arabiah (SIA) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) peringkat negeri Melaka 2023 yang turut dihadiri Pengarah Jaim Datuk Badaruddin Mohd Kassim.

Mengulas lanjut, Rahmad berkata, Jaim menerima 48,976 murid baharu ke SRA sehingga April tahun ini berbanding 46,242 pada tahun lalu.

"Kerajaan negeri menyambut baik dan mengalu-alukan kemasukan anak-anak ke SRA Jaim selain melihat permintaan dan sambutan ibu bapa terhadap pendidikan agama Islam semakin meningkat demi memastikan anak-anak mereka mendapat pendidikan yang secukupnya," katanya.

Dalam pada itu, Rahmad berkata, pada majlis itu, 103 murid serta pelajar daripada 40 sekolah iaitu SRA Jaim, Sekolah Rendah Arab Jaim, Sekolah Menengah Arab Jaim serta Sekolah Rendah Islam Swasta diraikan.

Pada majlis itu, pengiktirafan diberikan kepada 46 murid cemerlang UPKK, 55 murid cemerlang SIA dan dua pelajar cemerlang STAM selain penghargaan turut diberikan kepada sekolah yang mendapat keputusan cemerlang juga terbaik bagi ketiga-tiga peperiksaan di peringkat negeri.

"Melalui anugerah yang diberikan ini, ia membuktikan kerajaan negeri sentiasa mengambil berat berkaitan pembangunan pendidikan agama anak-anak di Melaka dalam usaha menyokong sistem pendidikan aliran perdana bagi keseimbangaan antara duniawi dan ukhrawi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mei 2024 @ 3:15 PM