Foto dikongsi Raghad melalui Instagram menunjukkan beliau dihalang ketika cuba memasuki kediaman di Kuching.
Foto dikongsi Raghad melalui Instagram menunjukkan beliau dihalang ketika cuba memasuki kediaman di Kuching.
Wartawan BH


Kuala Lumpur: Isteri kepada bekas Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Allahyarham Abdul Taib Mahmud membuat laporan polis selepas mendakwa dihalang daripada memasuki kediamannya di Kuching minggu lalu.

Berita Harian melaporkan Toh Puan Raghad Kurdi melalui satu hantaran di Instagram, kejadian itu berlaku ketika beliau ke Kuching untuk melawat pusara Allahyarham serta menyampaikan sedekah jariah bagi pihak suaminya yang meninggal dunia pada 21 Februari lalu.

Bagaimanapun, katanya sebaik tiba di kediaman itu, pengawal bertugas memaklumkan mereka tidak mempunyai kuasa untuk membenarkan beliau masuk.

"Kami dihalang ketika sampai di pintu pagar dan pengawal memberitahu saya mereka tidak mempunyai kebenaran untuk membenarkan saya masuk.

"Tetapi Alhamdulillah, pengawal yang baik hati membenarkan saya masuk. Allah akan sentiasa melindungi dan membela mereka yang dizalimi," katanya seperti dilaporkan FMT.

Melalui hantaran sama, Raghad turut berkongsi beberapa keping foto beliau berada di pintu pagar kediamannya bersama pengawal keselamatan dan ketika melawat pusara Taib.

Susulan kejadian itu, Raghad berkata beliau membuat laporan polis termasuk permohonan yang perlu di mahkamah.

"Saya lakukan semua ini dengan berat hati, saya tidak perlu membuktikan apa-apa kepada sesiapa.

"Beliau (Taib) suami saya, tapi saya perlu merekodkan perbuatan memalukan yang dilakukan terhadap saya dan menuntut keadilan.

"Saya tahu saya tidak pernah berkongsi cerita saya sebelum ini, tetapi sudah tiba masanya untuk berbuat demikian," katanya.

Taib meninggal dunia pada 21 Februari lalu di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur pada usia 87 tahun.

Beliau diterbangkan ke Kuala Lumpur pada 10 Februari untuk mendapatkan rawatan lanjut, selepas keluar dari unit rawatan rapi (ICU) Pusat Perubatan Pakar Normah di Petra Jaya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2024 @ 12:26 AM