PENEROKAAN muzik Sissy Imann kini di kemuncak.
PENEROKAAN muzik Sissy Imann kini di kemuncak.
Syafil Syazwan Jefri


PENAMPILAN penyanyi Sissy Imann di pentas persembahan sering menarik perhatian dek kerana memiliki pakej lengkap sebagai penghibur serba boleh.

Sissy, 29, bukan hanya memiliki wajah cantik malah mempunyai suara merdu dan teknik vokal yang memukau hingga berjaya mencuri hati ramai peminat muzik.

Namun, keistimewaan Sissy bukan hanya terletak pada suaranya sahaja. Ia terletak pada jiwanya yang sentiasa dahagakan seni, yang sentiasa mencari kesempurnaan dalam setiap persembahan.

Bagi Sissy, seni bukan sekadar hiburan. Ia adalah nafas, denyut nadi yang mengalir dalam setiap urat sarafnya.

Mimpi-mimpi kecilnya kini menjadi realiti, membentuk laluan kehidupan yang dipenuhi dengan melodi indah dan lirik yang menyentuh hati.

Kini, Sissy bersedia untuk melangkah ke satu lagi fasa dalam kerjayanya dan bakal mengadakan Sissy Imann The Showcase pada 28 Julai ini di Blackbox Damansara Performing Arts Centre (DPAC), sebuah persembahan yang dijanjikan akan menjadi mahakarya dalam karier seninya.

"Dari sudut persiapan, boleh dikatakan sudah menjangkau 70 peratus. Sekarang pun, saya dan band masih dalam proses latihan, kami mainkan kesemua lagu dari awal sampai akhir.

"Insya-Allah, akan ada tiga kali raptai lagi dan kemudian, 'sound check' dan selepas itu, hari acara. Band ini sudah saya rekrut sejak Januari lalu dan sesi latihan pun sudah bermula sejak itu sebenarnya," katanya.

Showcase ini bukan sekadar konsert biasa kerana ia adalah manifestasi impian Sissy yang sudah lama disulam dalam hatinya.

"Saya akan bawakan lagu-lagu dari dalam album saya dan juga lagu-lagu terdahulu. Kalau dari sudut visual dan penampilan pula, saya simpan dahulu sebagai kejutan dan kena datang untuk tonton.

"Idea untuk mengadakan Sissy Imann The Showcase asalnya muncul selepas saya terbitkan album. Tapi, waktu itu banyak perkara perlu saya fokuskan antaranya, untuk menghabiskan pengajian peringkat ijazah saya.

"Jadi, selepas semuanya selesai pada Mac lalu, barulah saya dapat tumpukan perhatian kepada showcase ini dan itu menjadi perkara pertama yang bermain di dalam fikiran saya," katanya.

Dengan setiap persembahan, Sissy membawa penonton mengembara ke alam yang penuh dengan emosi dan keindahan. Setiap nota yang dimainkan, setiap lirik yang dinyanyikan, menggambarkan perjalanan hidupnya yang penuh warna-warni.

Melalui Sissy Imann The Showcase, dia berharap dapat berkongsi semangat dan cintanya terhadap muzik dengan peminat yang setia menyokongnya.

"Sebelum ini, kalau membuat persembahan, saya menggunakan minus one. Tapi, kali ini saya tampil bersama band. Saya sendiri akan menyanyi dan pada masa sama bertindak sebagai pemain keyboard.

SISSY Imann sering mendapat perhatian menerusi karya dan penampilannya atas pentas.
SISSY Imann sering mendapat perhatian menerusi karya dan penampilannya atas pentas.

"Itu akan menjadi satu kelainan. Mungkin ada yang pernah menonton persembahan saya menyanyi sambil bermain keyboard di Instagram dan platform media sosial, tapi, untuk satu showcase secara langsung, ini jarang berlaku.

"Kalau saya tampil di pentas bermain piano dan menyanyi pun, akan ada pemain keyboard kedua. Jadi, kali ini saya sendiri bermain 100 peratus. Kami akan persembahkan 14 lagu dan yang pasti, akan ada artis jemputan. Siapakah gerangan artis jemputan itu, sama-sama kita nantikan," katanya.

Berkongsi mengenai makna dan erti kehadiran Sissy Imann The Showcase buatnya sebagai anak seni yang berjuang tanpa henti, Sissy menggambarkannya sebagai satu pencapaian yang sangat berharga.

"Sissy Imann The Showcase, ertinya sangat besar buat diri saya secara peribadi. Saya dah memulakan langkah seni saya sejak berusia 5 tahun, bermula dari menyertai kelas piano, sehinggalah selesai ijazah dalam bidang muzik. Muzik dan saya tak boleh dipisahkan kerana ia sudah sebati dengan jiwa saya.

"Sokongan ayahanda dan bonda juga dari dulu sehingga ke hari ini membuatkan saya bersemangat dan gembira untuk meneroka industri ini.

"Saya lantik jurugambar untuk mengambil gambar poster. Saya lantik pereka poster untuk mereka bentuk poster showcase. Bila lihat hasilnya di laman web penjualan tiket, rasa sangat teruja.

"Selalunya, sebagai artis, kita tak buat semua benda itu sendiri. Tapi, kali ini, saya berkomunikasi dengan orang-orang yang bekerjasama dengan saya," katanya.

Bagi Sissy, muzik adalah cerminan jiwanya, dan melalui Sissy Imann The Showcase, dia akan menunjukkan kepada dunia betapa indahnya impian yang dikejar dengan penuh dedikasi dan cinta.

"Penganjuran acara seperti showcase ini penting buat seseorang anak seni. Apabila ada acara begini, tentunya kita perlu melalui proses latihan dan menerusi latihan, itu akan meningkatkan kemahiran.

"Dari situ, kita boleh berkongsi dan menunjukkan kemahiran kita, hasil bakat yang dikurniakan Allah kepada orang-orang yang sudi mendengar serta menonton persembahan kita. Kita boleh kongsikan rasa dan keindahan muzik itu sendiri.

"Sebenarnya, tak perlu tunggu untuk orang lain tawarkan. Selalunya, kita rasa macam, 'kenapa orang tak panggil kita untuk buat persembahan' dan sebagainya. Tentunya, itu boleh membuatkan kita rasa kecewa dan tertekan.

"Walaupun saya dilihat sebagai artis arus perdana, namun, sejak dahulu lagi saya dah bergerak secara 'independent'. Jadi, jangan tunggu orang buat kerja untuk kita. Ada rezeki untuk buat album, buat. Ada rezeki untuk buat showcase, buat.

"Saya jadikan Sissy Imann The Showcase sebagai titik permulaan untuk memperkenalkan sisi berbeza Sissy Imann bersama band dan bukan sebagai penyanyi solo," katanya.

Diminta mengulas mengenai perkembangan industri muzik tanah hari ini, Sissy yang juga bergelar pendidik dalam bidang muzik melihat perihal itu berkembang secara positif.

"Industri muzik kita hari ini berkembang positif. Saya nampak ramai artis baharu yang membawa idea segar. Pada masa sama, artis-artis lama pun kembali dengan material serta bunyi-bunyi baharu.

"Kalau nak bercakap mengenai genre, sekarang dah susah untuk kita klasifikasikan. Muzik pop pun, sekarang dah bercabang-cabang. Banyak elemen yang digabungkan. Jadi, itu satu lagi bukti bahawa perkembangannya positif." katanya.

Tambah Sissy, pemuzik harus berani tampil dengan karya dan idea baharu setiap masa bagi disajikan kepada pendengar yang sentiasa dahaga akan sesuatu yang segar.

"Sebagai pemuzik, kita kena hidangkan karya yang berbeza setiap waktu. Sama seperti juadah makanan. Mungkin kita dah biasa dengan nasi, sambal belacan dan ayam goreng. Tapi, kita boleh tawarkan lauk berbeza contohnya, ayam goreng yang dipadukan dengan sambal bercampur belimbing.

"Menjadi tanggungjawab pemuzik untuk tawarkan sesuatu yang baharu. Pada masa sama, kita juga perlu jujur dengan diri sendiri, tahu apa pendengar mahukan dan mencari titik tengah antara semuanya." kata Sissy dalam proses rakaman album projek khas yang akan dikeluarkan pada penghujung tahun ini di samping masih bergerak aktif sebagai pengacara program TV.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2024 @ 6:20 AM