BANGUNAN Jakim.
BANGUNAN Jakim.
Bersama Datuk Muhammad Asri Abdullah

RUU Mufti WWP  adalah cabutan daripada Bahagian III (Seksyen 32-39) Akta 505 dengan beberapa pindaan yang  memperjelaskan dan memperkukuhlan institusi mufti yang dikuatkuasa sejak 1993. Jadi ia bukanlah suatu perkara baharu yang hendak diwujudkan tapi wujud lebih tiga puluh tahun yang lalu.

  Menerusi rang undang-undang itu, ia juga memperincikan mengenai penubuhan Jawatankuasa Fatwa Wilayah-Wilayah Persekutuan, Jawatankuasa Falak Syarie, Jawatankuasa Rukyah Hilal, Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam dengan dipengerusikan mufti. 

  Ia juga menyentuh kelayakan menjadi mufti iaitu mewajibkan individu terbabit berakidah Ahli Sunnah Wal Jamaah (Sunni) yang terfokus pada Perkara 4(a) iaitu merujuk kepada pegangan bersumberkan aliran al-Asyairah dan al-Maturidiyah dalam akidah, bermazhab Syafie (mengikuti mazhab Sunni lain dalam keadaan tertentu) dalam fiqah serta pegangan dibawa oleh Imam al-Ghazali dan Imam Junaid dalam tasawuf. 

Jangan kita ulangi dan lupa kesan kita mempolemikkan RUU 355, di mana akta terbabit hanya bertujuan meningkatkan takat hukum denda bagi kesalahan jenayah syariah dipolemikkan atau dimomokkan untuk melaksanakan hukuman potong tangan, menghukum orang yang bukan Islam yang murtad dan sebagainya dan dijadikan isu politik pihak yang mengambil kesempatan dan tidak bertanggungjawab maka kesannya RUU 355 'mati tanpa kubur'.

  Mufti dan fatwa adalah antara isu penting dalam fiqh Islam. Kedua-duanya mempunyai peranan besar dalam kerancakan arus perkembangan hukum Islam. 

  Mufti memikul tanggungjawab yang besar dalam menangani permasalahan semasa yang dihadapi oleh umat Islam. Begitu juga dengan fatwa  yang menjadi asas umat Islam dalam menghadapi permasalahan atau isu semasa yang berlaku. 

Kuasa mufti amat besar kerana mufti hendaklah membantu dan menasihati Yang di-Pertuan Agong berkenaan semua perkara hukum syarak dan dalam semua perkara sedemikian hendaklah menjadi pihak berkuasa utama di Wilayah-Wilayah Persekutuan selepas Yang di-Pertuan Agong.

Bantahan tambahan terhadap pengkhususan istilah ASWJ yang hanya merujuk kepada aliran Asyairah an Maturidiyah.

Ada yang berpendapat: "Tidak wajar untuk kerajaan meluluskan apa-apa perundangan atau enakmen yang membelenggu pemikiran rakyat, merampas kebebasan berfikir dan akademik terutamanya atas nama agama. "Bagaimana mungkin Wilayah Persekutuan ingin meluluskan satu peraturan yang menyempitkan akal dan minda padahal Wilayah Persekutuan pusat segala intelektual berdebat dan berhujah." 

Saya berpendapat pandangan itu tidak merujuk kepada Seksyen 39 (1), (2) dan (3) Akta 505 berkaitan yang menyatakan keluasan pandangan mufti dan Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak mengeluarkan apa-apa fatwa:

Nas yang hendaklah diikuti:

39. (1) Dalam mengeluarkan apa-apa fatwa di bawah seksyen 34 atau memperakukan apa-apa pendapat di bawah seksyen 38, mufti hendaklah pada lazimnya mengikut pandangan diterima (qaul muktamad) Mazhab Syafie.

(2) Jika mufti berpendapat bahawa dengan mengikut qaul muktamad Mazhab Syafie akan membawa kepada keadaan yang berlawanan dengan kepentingan awam, mufti bolehlah mengikut qaul muktamad Mazhab Hanafi, Maliki atau Hanbali.

(3) Jika mufti berpendapat keadaan yang berlawanan dengan kepentingan awam, mufti bolehlah menyelesaikan persoalan itu mengikut hematnya sendiri tanpa terikat dengan qaul muktamat daripada mazhab yang empat itu.

Dengan ini jelas peruntukan ini memberikan keutamaan atau kelaziman mengeluarkan fatwa mengikut pandangan qaul muktamat Mazhab Syafie. Jika ia berlawanan dengan kepentingan awam mufti boleh mengambil atau mengikut qaul muktamat Mazhab Hanafi, Maliki dan Hanbali. Malah jika pendapat tersebut juga bercanggah dengan kepentingan awam, mufti boleh pada hematnya sendiri boleh memilihi mana pandangan yang menepati kehendak hukum syarak tanpa terikat mana-mana mazhab.

Saya berpendapat ini dijelaskan dalam Perlembagaan Persekutuan dalam Perkara 3:

Perkara 3 (1) Perlembagaan memperuntukkan bahawa: "Islam ialah agama bagi Persekutuan". Iaitu agama bagi negara ini, Malaysia.

Manakala dalam  Akta 505 lebih memperincikannya dengan menjelaskan bahawa: 'Hukum Syarak' ertinya Undang-Undang Islam mengikut mana-mana mazhab yang diiktiraf.

Manakala dalam RUU Mufti Wilayah Persekutuan 2024 memperjelaskan lagi maksud Ahli Sunnah Wal Jamaah seperti berikut:

Hal itu kerana ia menyentuh kelayakan menjadi mufti iaitu mewajibkan individu terbabit berakidah Ahli Sunnah Wal Jamaah (Sunni) yang terfokus pada perkara 4 (a) iaitu merujuk kepada pegangan bersumberkan aliran al-Asyairah dan al-Maturidiyah dalam akidah, bermazhab Syafie (mengikuti mazhab Sunni lain dalam keadaan tertentu) dalam fiqah serta pegangan dibawa oleh Imam al-Ghazali dan Imam Junaid dalam tasawuf. 

Ada yang berpendapat RUU Mufti WP ini perlu dikaji semula kerana dibuat dengan terburu-buru.

Saya berpendapat RUU Mufti WWP ini bukanlah perkara baharu tapi ia adalah bertujuan memisahkannya daripada Akta 505 yang telah wujud sejak 1993. 

  Peruntukan ini disediakan satu Jawatankuasa Penggubalan Undang-Undang di peringkat negeri dan Jawatankuasa Teknikal Penggubalan Undang Syarak dan Sivil di bawah MKI dan naungan MRR.   

  Mereka yang dilantik terdiri daripada pakar undang-undang syarak dan sivil, profesor dalam bidang perundangan, syariah dan sebagainya. Bersama agensi kerajaan daripada  Peguam Negara, Jakim. 

  RUU WWP ini telah beberapa kali dibincang dalam Muzakarah Mufti-Mufti, Hakim-Hakim Syarie, Alim Ulama, di peringkat zon negeri-negeri dan akhirnya di peringkat Pusat. 

  Ia juga pernah dibincangkan dalam Muzakarah Komuniti Syariah di Jabatan Peguam Negara. Kita berilah kepercayaan kepada yang ahli kerana setiap orang tidak boleh dan tidak mampu menguasai ilmu dan mempunyai pengalaman dalam semua bidang.

  Kita masih banyak  lagi mempunyai deraf undang-undang yang berkaitan dengan undang-undang Islam melebihi 20 deraf yang masih dalam simpanan Jakim dan Jabatan Peguam Negara yang sepatutnya dijadikan RUU untuk dibawa ke Parlimen dan DUN negeri satu persatu. Seperti deraf Undang-Undang Faraid atau Pentadbiran Harta Pesaka, Wakaf, Hibah dan sebagainya. 

Keputusan Mesyuarat Majlis Raja-Raja Kali ke-265

Mesyuarat Majlis Raja-Raja (MRR) Kali Ke-265 pada 21-22 Februari 2024 bersetuju dan memperkenan Pemakaian Garis Panduan Kurikulum Pendidikan Islam Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).

  Persidangan Jawatankuasa Penyelarasan Pendidikan Islam Kebangsaan Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali ke-56 pada 20 Mei 2022 bersetuju akan cadangan Garis Panduan Kurikulum Pendidikan Islam Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).

  'Ahli Sunnah Wal Jamaah' ertinya golongan yang berpegang dengan al-Quran dan al-Sunnah dari segi akidah hendaklah berdasarkan pegangan yang bersumberkan aliran al-Asyairah dan al-Maturidiyah, dari segi syariah mengikut Mazhab Syafie atau dalam keadaan tertentu mengikut mana-mana satu Mazhab Hanafi, Maliki atau Hanbali atau melalui ijtihad hukum yang telah diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa dan dari segi tasawuf mengikut pegangan yang dibawa oleh Imam Junaid al-Baghdadi dan Imam al-Ghazali.

  Oleh itu penambahan tafsiran 'Ahli Sunnah Wal Jamaah' dalam RUU Mufti Wilayah Persekutuan 2024 adalah bersuaian dengan kehendak semasa, inspirasi rakyat, kehendak pemimpin dan Majlis Raja-Raja (MRR).

Pengamalan syariat, akidah dan tasawuf melalui pendapat atau pandangan Imam Al Syafie dan menerima pakai lain-lain mazhab melalui turutan tersebut dan pandangan fuqaha yang muktabar yang lain telah menyuburkan Islam di Alam Melayu atau nusantara atau di negara Arab dipanggil 'Tanah Jawi'. Pengamalan syariat, akidah dan akhlak dapat berjalan dengan baik.

Penulis Hakim Mahkamah Rayuan Syariah Utama Negeri Perak

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2024 @ 7:01 AM