Simone inzaghi
Simone inzaghi
AFP

Milan: Simone Inzaghi menandatangani lanjutan kontrak selama satu tahun dengan juara Serie A, Inter Milan dan perkara itu disahkan kelab terbabit.

"Dengan perjanjian baru ini, jurulatih akan memimpin Nerazzurri sehingga 2026," kata kelab itu dalam satu kenyataan.

Inzaghi, 48, mengambil alih pada tahun 2021 dengan perjanjian selama dua tahun berikutan pemergian Antonio Conte, dan melanjutkan kontraknya pada September lalu sehingga 2025.

Inter menamatkan musim 19 mata di hadapan AC Milan di puncak Serie A untuk merangkul gelaran liga ke-20 mereka dengan lima perlawanan berbaki selepas kemenangan 2-1 ke atas pesaing mereka April lalu.

Dalam tiga musim, bekas jurulatih Lazio itu juga membawa kelab itu memenangi tiga Piala Super Itali, dua Piala Itali dan ke final Liga Juara-Juara pada 2023.

Walaupun Inter tersingkir di pusingan 16 dalam kedua-dua Liga Juara-Juara dan Piala Itali musim lalu, mereka menguasai Serie A dengan 29 kemenangan, tujuh seri dan hanya dua kekalahan.

Inter bertukar pemilikan pada bulan Mei dengan dana AS Oaktree mengambil alih dari kumpulan China Suning, yang tidak mampu membayar hutang bernilai ratusan juta dolar

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2024 @ 2:52 AM