MURID berkongsi meja kantin untuk mengikuti pembelajaran yang disampaikan oleh guru, Thuraiya Harith.
MURID berkongsi meja kantin untuk mengikuti pembelajaran yang disampaikan oleh guru, Thuraiya Harith.

Alor Gajah: Nasib murid Sekolah Rendah Islam (SRI) al-Munawarah, Kampung Pulau, Durian Tunggal, yang terpaksa belajar dalam keadaan kurang selesa berikutan kerusi dan meja rosak akibat banjir pada 7 Februari lalu mendapat perhatian apabila beberapa pihak tampil untuk menghulurkan bantuan.

Difahamkan, beberapa individu yang enggan dikenali sudah bertemu pihak pengurusan sekolah berkenaan bagi membantu mengatasi masalah berkenaan.

Bagaimanapun, sementara menunggu kelengkapan baru tiba, 64 murid tahun satu hingga lima terpaksa belajar menggunakan meja tidak ditenggelami air dari kantin, perpustakaan dan bilik guru sekolah itu.

Guru Penolong Kanan (GPK) sekolah agama swasta itu, Mirani Achah berkata, beberapa individu yang enggan dikenali menghubungi beliau dan Guru Besar, Safrie Syafie untuk menghulurkan bantuan kewangan.

“Ada pihak sudah bersetuju membayar kos perolehan kerusi dan meja bernilai RM6,000. Selain itu, ada juga yang sudah menyumbangkan wang dalam jumlah tertentu untuk membaiki kerosakan pada pintu dan beberapa struktur bangunan akibat banjir.

“Kami mengucapkan syukur kepada Allah SWT kerana mengutuskan individu terbabit untuk membantu sekolah ini, sekali gus meringankan beban kos menggantikan peralatan rosak dan memberikan faedah kepada murid,” katanya.

Mirani berkata, pihak pengurusan sekolah juga memberi jaminan kepada ibu bapa, sesi pembelajaran murid berjalan seperti biasa walaupun sebahagian besar peralatan terutamanya perabot rosak akibat banjir.

Sementara itu, Pengerusi sekolah berkenaan, Minghat Mamut, 70, berkata, pihak pengurusan sekolah amat berharap orang ramai dapat menghulurkan lebih banyak sumbangan untuk menampung kos membaiki bangunan, menyediakan kemudahan kepada murid dan menceriakan kawasan sekolah.

Jumaat lalu, Harian Metro melaporkan, sebahagian daripada 84 murid sekolah itu mungkin terpaksa menulis atas lantai apabila sekolah dibuka berikutan kerosakan kerusi dan meja akibat ditenggelami banjir.

Mereka yang ingin menghulurkan sumbangan diminta menghubungi pejabat sekolah (06-5534601) atau Mirani (017-6020332) atau Safrie (016-7887060).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Februari 2016 @ 7:26 AM